Laman Utama
Begini Cara Siti Tangani Masalah ‘Suara Serak’ Sepanjang Rakam Album SITISM
Penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza menganggap dugaan sakit tekak dan ‘suara serak’ yang dialami sepanjang merakamkan album ke-20 miliknya, SITISM sebagai hal yang normal.
Mengakui sedikit ‘down’ kerana keadaan kesihatan yang sedikit membataskan progres rakaman, namun, penghibur berusia 44 tahun itu tetap berusaha untuk memberikan yang terbaik, khususnya buat peminat.
“Rasa down tu ada. Tetapi, saya selalu positif. Mungkin usia begini Allah nak kekalkan suara serak saya? Saya reda.
“Tapi dalam hati, saya doa supaya cepat pulih. Saya pergi umrah ketika Ramadan tempoh hari saya doa depan Kaabah, minta kesembuhan daripada dan dapat menyempurnakan rakaman album ini,” katanya kepada Gempak.
Siti berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album SITISM pada Rabu.
Menurut Siti, pernah terdetik di hati jika ditakdirkan nikmat suaranya ditarik oleh Allah SWT sewaktu mengalami masalah sakit tekak yang berlarutan beberapa bulan lalu.
“Apa Allah nak bagi, Dia akan bagi. Apa yang Dia nak tarik balik, Dia akan tarik. Dalam hati saya, dah reda kalau Allah tarik sikit suara.
“Jadi, untuk album ini, saya rakam ikut kemampuan,” katanya yang mengakui ada mengulang rakam empat lagu sebanyak dua kali.
SITISM dan SITISM (Deluxe Album) sudah tersedia di semua platform digital dan album versi fizikal juga sudah mula dijual.
Terisi 12 trek, SITISM turut memperlihatkan bakat Siti sebagai komposer menerusi lagu ciptaannya berjudul Kusedari. Lirik lagu berentak balada itu ditulis oleh penulis lirik terkemuka, Habsah Hassan.