Hiburan
Bekas Editor Gempak, Fiza Kamarudin Meninggal Dunia Di London
Wartawan hiburan Fiza Kamarudin, 40, disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak di Hospital Charing Cross, London, jam 6.30 petang waktu tempatan (11.30 malam waktu Malaysia) hari ini.
Adiknya Siti Nor Hazlinda, 39, berkata, suami Allahyarham, Mohd Roshdi Ramli dalam proses perbincangan dengan kedutaan Malaysia di sana untuk membawa pulang jenazah ke tanah air.
"Kami baru dapat bercakap dengan suami arwah. Keputusan membawa pulang jenazah masih dalam proses perbincangan terutama membabitkan kos. Suami arwah sedang berhubung dengan pihak kedutaan Malaysia di sana.
"Terima kasih kepada semua pihak yang sudah membantu termasuk memberikan sumbangan kepada keluarga arwah. Doakan perjalanan terakhir kakak saya dipermudahkan," katanya.
Menurutnya, pendarahan otak itu disebabkan oleh sel kanser yang sudah merebak ke seluruh anggota badan hingga mengakibatkan kakaknya rebah di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, semalam.
Menurutnya, kejadian berlaku beberapa jam sebelum kakaknya bersama suami dan dua anak mereka berlepas pulang ke tanah air.
Menurutnya, percutian ke London adalah hajat terakhir kakaknya bagi meraikan kedua anaknya, Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.
"Sebelum ini kami sekeluarga memberi nasihat agar fikir dahulu sebelum ke sana. Tetapi dia cakap dah janji nak membawa anak-anaknya bercuti. Dia memang nak menggembirakan mereka. Malah, itu juga adalah hajat terakhirnya untuk bersama suami dan anak-anak," katanya.
Fiza yang sebelum ini dirawat di Hospital Charing Cross, London selepas dilaporkan tidak sedarkan diri ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow semalam untuk pulang ke Malaysia selepas bercuti.
Sepanjang hayatnya, arwah Fiza pernah bertugas mengetuai pasukan editorial Gempak di samping terlibat dalam mengelolakan kandungan editorial bagi RojakDaily (BM). Sebelum meninggal dunia, arwah bertugas di portal hiburan BOOM.