Bollywood
Bekas Kekasih Mendiang Sushant Singh, Rhea Chakraborty Ditahan Di Penjara
Selepas tiga bulan kematian pelakon Bollywood, Sushant Singh Rajput, bekas kekasihnya, Rhea Chakraborty ditahan di penjara pada Selasa untuk dibicarakan dalam tempoh terdekat.
Rhea, 28, disyaki membekalkan dadah kepada Sushant sebelum mendiang meninggal dunia akibat membunuh diri pada Jun lalu di kediamannya di Mumbai.
Bagaimanapun, keluarga Sushant menyangkal dakwaan terbabit dan menegaskan pelakon filem Kai Po Che itu berdepan kemurungan disebabkan tindakan Rhea yang telah mencuri duit dan mengugutnya.
Hal itu telah mendesak Biro Pengawalan Narkotik untuk membuka kertas siasatan.
Rhea telah ditahan pihak berkuasa bersama abangnya, Showik Chakraborty, pengurus Rajput, Samuel Miranda dan tukang masaknya, Dipesh Sawant.
Selain didakwa membekalkan dadah jenis kanabis kepada Sushant, mereka juga disyaki terlibat dalam sindiket penyalahgunaan dadah yang aktif di India.
Kematian Sushant seminggu selepas berpisah dengan Rhea dikaitkan dengan konspirasi bahawa wanita berkenaan seorang manipulatif dan kaki kikis.
Rhea memulakan kerjaya sebagai VJ MTV India pada 2009 dan pernah membintangi beberapa filem antaranya Jalebi, Bank Chor dan Chehre.
Rhea dan Sushant mula menjalinkan hubungan cinta sejak 2019 dan pernah tinggal bersama sebelum dikhabarkan putus.
Pasangan itu dikhabarkan pernah merancang untuk berkahwin.