Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Bekas Pekerja Syarikat Pengacara Terkenal Buat Pendedahan, Minta Netizen Viralkan Isu Ini - “Yang Melihat Video Ini, Bantulah Kami”

Asyraf Roslan 12/11/2024 | 16:25 MYT

Pengacara, Meyraa Khan mendedahkan bahawa dia pernah bekerja dengan syarikat penyiaran yang dinaungi seorang pengacara terkenal.

Menerusi perkongsian di Instagram pada Selasa, Meyraa menyatakan sudah lama dia menahan sabar apabila bercakap mengenai isu gaji dan tidak faham apabila pengacara tersebut boleh menangguhkan gaji pekerjanya.
“Gaji lambat satu bulan kita dah tahan.

“Lama ye tahan, bertahun, kalau gaji lambat tiga bulan ini.. satu bulan ini pun sudah melanggar undang-undang Malaysia.

“Kalau lambat tiga bulan kita tak tahu undang-undang mana yang digunakan,” soal Meyraa.
Pada masa sama, Meyra juga meminta tolong orang ramai yang melihat videonya itu untuk tularkan sehingga mendapat perhatian pihak berwajib.
“Jadi kepada korang semua yang melihat video ini tolong, bantu lah kami.
“Macam-macam dah dibuat, kita ni manusia kerdil je awak. Jadi kami perlukan bantuan awak untuk viralkan.
“Mungkin lepas viral baru dia nak bayar gaji semua staff-staff, bukan gaji sahaja, EPF, SOCSO, KWSP. Maka bantulah kami untuk menarik perhatian pihak-pihak yang bertanggungjawab,” ujarnya.
Pada masa sama, Meyraa meminta orang ramai untuk membayangkan bagaimana mereka yang berkeluarga mahu menampung kehidupan jika tidak dibayar gaji dalam tempoh yang sangat lama.

“Saya seorang tak mengapa, namun bayangkan mereka yang berkeluarga. Macam mana nak sara keluarga kalau tiga bulan tiada gaji,” tambahnya.

Gempak dapat menghubungi Meyraa dan dia mengesahkan kenyataan yang dibuatnya.
Terdahulu tular satu hantaran yang menyatakan bahawa seorang pengacara terkenal tidak membayar gaji pekerjanya dalam tempoh yang amat lama.
Menerusi perkongsian tersebut, individu itu memberitahu sudah melaporkan kepada pejabat buruh dan KWSP namun tiada tindakan yang dilihat setakat ini. ​

#KWSP #Gaji #Pendedahan #Meyra Khan #Tulas
;