Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Belajar Dari Perseteruan 8 Tahun Dengan Media Melayu, Shila Amzah Tidak Mahu Pikul Beban

Maliah Surip 24/06/2022 | 03:55 MYT

Shila Amzah tampil ringkas berbaju putih polos dipadan tudung warna pastel menyambut manis dan penuh bersedia para wartawan yang menjadi tetamunya pada petang Khamis.

Dengan senyum tak lekang di bibir, penyanyi berusia 32 tahun itu juga tak melepaskan peluang berpelukan bersama teman media wanita dan menyantuni rakan media lelaki yang datang untuk duduk semeja bersamanya.
Peristiwa ini adalah yang pertama kali dalam lapan tahun berlaku. Ia adalah sejarah selepas Shila bersama keluarga dan syarikatnya menyaman akhbar Kosmo!dengan salah seorang penamanya adalah Maliah Surip duduk semeja dengan beberapa rakan media lain yang juga terheret sama dalam kemelut tersebut pada tahun 2015 lalu.
Benar, sebelum ini dia sudah meminta maaf secara terbuka, namun pada pertemuan santai yang diaturkan oleh pihak Indigital Music, Shila meluahkan perasaan bahagia kerana dapat kembali menyambung ukhuwah bersama ‘abang dan kakak’ yang telah membesarkan namanya dalam industri hiburan tempatan.
“Saya tidak mahu lagi terbeban dan membawa beban yang besar di bahu ini. Permohonan maaf yang saya buat sebelum ini bukan atas paksaan sesiapa.
“Jika ada yang mengatakan ia dibuat kerana saya ingin kembali aktif, terpulang.
“Apa yang saya tahu, saya ikhlas dan tak mahu membawa beban ini sehingga saya mati. Saya percaya perkara dahulu yang tak sepatutnya sampai naik mahkamah boleh diselesaikan dengan sangat berhemah seperti pertemuan pada hari ini,” akui Shila pada pertemuan di Restoran Puteri, Sungai Penchala.
Shila yang akan muncul dengan single duo bersama Liza Hanim, Bahagiakan Dia itu juga mengaku lega kerana pada akhirnya dapat kembali ‘hidup’ dalam belantika hiburan yang menjadi padang permainannya sejak usia 10 tahun.
“Bayangkan ya, dalam tempoh lapan tahun lalu, saya pernah menjadi ‘kerusi’ dalam majlis. Saya kena pandai bawa diri jika ada sesi bergambar dengan duduk di bahagian tepi kerana tak mahu diri kena sunting dan banyak lagi.
“Tapi hari ini, saya gembira kerana perselisihan yang berlaku dapat diselesaikan secara pertemuan seperti ini, Alhamdulillah,” katanya lagi.
Menurut Shila, perkara buruk yang pernah terjadi dalam dirinya dahulu mahu dibuang jauh dan kini dia ingin membina hidup baharu, bukan sahaja dalam karier tetapi kehidupan peribadi selepas bercerai dengan suaminya sekitar lapan bulan lalu.
“Saya percaya kita semua semakin matang dan saya dengan kehidupan baharu ini mahu yang baik baik saja. Macam saya cakap tadi, saya tak mahu pikul beban lagi. Saya mahu semuanya berjalan lancar dan bahagia.
“Sekali lagi saya minta maaf kepada semua rakan media dan pihak yang terlibat dengan perseteruan lapan tahun lalu.
“Sesungguhnya turun naik mahkamah sangat memenatkan, membuang masa dan kewangan yang sangat banyak,” luahnya lagi.
Sementara itu, dalam pertemuan yang berlangsung sekitar tiga jam, pihak media menerusi wakil seperti Timbalan Presiden, Wartawan & Hiburan, Niezam Abdullah, Editor Hiburan Kosmo!, Raja Suzana Raja Hamat, Editor Hiburan Metro, Ahmad Riadz Radzi, Penolong Pengarang Hiburan Berita Harian, Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamed turut menyampaikan permohonan maaf kepada Shila sekiranya menguris hati anak seni tersebut.
Terdahulu, pihak media Melayu bersolidariti turun naik mahkamah selama dua tahun selepas pengurusan Shila tidak berpuas hati dengan laporan mengenai konsert yang ditaja syarikat judi.
Shila bagaimanapun kalah dalam saman tersebut dan diperintah membayar kos sebanyak RM20,000 kepada Kosmo!selaku defendan.

#Penyanyi #Viral #Kontroversi #saman #Mahkamah #Shila Amzah #maaf #Berdamai #Akhbar #Kosmo!
;