Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Belasah Warga Emas Sampai Muka Bengkak & Patah Tulang Pipi, Pembuli Jalan Raya Direman 4 Hari

Izwan Isa 07/02/2024 | 00:55 MYT
Gara-gara tindakan membelasah seorang warga emas di hadapan sebuah klinik swasta di Taman Tasik Puchong Prima, Putra Perdana, Sepang pada 30 Januari lalu, seorang lelaki pembuli jalan raya ditahan reman empat hari.
Ketua Polis Daerah (KPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, mangsa dipukul ketika dalam perjalanan menaiki kereta dari Brickfield ke Putra Perdana untuk berjumpa rakannya.

BERITA TRENDING: Anak Ahli Politik Belasah & Rakam Teman Wanita Yang Dilanggar Sampai Mati

Semasa di Puchong Perdana, dia dipukul di bahagian muka, kepala dan rusuk oleh suspek tanpa sebab, selain mengeluarkan perkataan ‘engkau ni bodoh, tak pandai bagi signal.’

Wan Kamarul menambah, mangsa yang meneruskan perjalanan telah diekori suspek.
“Semasa mangsa tiba di hadapan kedai bakeri di Putra Perdana dia telah disekat oleh suspek yang sekali lagi menarik warga emas itu keluar dari kereta dan menumbuknya pada bahagian mata dan menendang bertubi-tubi.
“Mangsa yang juga seorang pesara telah ditinggalkan di lokasi dan dibawa oleh ambulans ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan.
Hasil pemeriksaan doktor, mangsa mengalami bengkak di kepala, lebam di bahagian mata kiri, patah tulang pipi kiri dan patah bawah tulang mata kiri.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Menurut Wan Kamarul, suspek, lelaki warga tempatan berusia 25 tahun ditahan pada jam 5 petang semalam dan direman di Mahkamah Majistret Sepang hari ini sehingga Jumaat.

BERITA TRENDING: Lufya Cedera, Bergelut Selamatkan Anak Hampir Diculik Di Taman Permainan

Suspek yang bekerja sendiri turut mempunyai tiga rekod jenayah di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3A Akta Dadah Berbahaya.

Beliau turut mengesahkan gambar seorang lelaki warga emas yang mengalami kecederaan ditularkan di media sosial adalah benar belaku dan masih di dalam siasatan.
Sumber: MalaysiaGazette
#warga emas #Belasah
;