Hiburan
Belasungkawa Seniwati Mariani: Perginya Sebutir Permata
Seniwati Mariani atau nama sebenarnya Mariam Ismail menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 7.32 malam di kediaman anak perempuannya, Melissa Saila di Taman Kosmo Jaya, Sentul.
Berita menyedihkan ini disahkan sendiri Melissa Saila menerusi akaun media sosialnya miliknya.
Pemergian Allayarhamah Mariani pastinya merupakan kehilangan besar buat persada seni tanah air terutamanya apabila melihat kembali zaman kehebatan filem-filem Melayu Klasik Studio Jalan Ampas, Singapura.
Seniwati Mariani dipecayai mengalami penyakit kanser usus dan pada usia 82 tahun, beliau dilihat seringkali menerima rawatan di pusat perubatan kerana faktor kesihatan.
Jenazah Allahyarhamah Mariani akan dimandikan di Masjid Al Hidayah, Jalan Sentul pada jam 9 pagi dan seterusnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, pada jam 11 pagi esok.
Sebutir Permata
Kakak kepada biduanita Puan Sri Saloma ini dilahirkan pada 20 April 1933 di Tanjung Pagar dan merupakan gadis pertama yang memenangi pertandingan Ratu Cantik Singapura ketika berusia 17 tahun.
Memulakan karier lakonannya menerusi filem Chemburu yang diarahkan oleh S. Ramanathan pada tahun 1952 dan mendapat perhatian umum kerana watak jahatnya yang dipegangnya memberi kesan kepada para penonton pada waktu itu.
Antara filem-filem hebat lain yang turut dibintangi Seniwati Mariani ialah Labu Labi, Nasib Labu Labi, Tiga Abdul dan banyak lagi. Tidak ketinggalan filem di zaman Studio Merdeka, Kuala Lumpur seperti Masam-masam Manis dan Putus Sudah Kasih Sayang.
Pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan dikurniakan 13 orang anak.
Pemergian Allahyarhamah Seniwati Mariani pastinya membawa duka dan kehilangan besar buat persada seni tanah air yang banyak memberi sumbangan besar kepada dunia perfileman Melayu Klasik.
Moga roh Seniwati Mariani dicucuri rahmat dan salam takziah buat untuk keluarga Allahyarhamah.
Al-Fatihah.
Teks Oleh: Khalid Rahman