“Beliau Miliki Suara Paling Merdu Di Dunia” - Dimash Tak Sabar Beraksi Satu Pentas Dengan Siti Nurhaliza
Penyanyi popular Kazakhstan, Dimash Qudaibergen menyatakan rasa teruja untuk membuat persembahan untuk konsert pertamanya di Malaysia Sabtu ini.
Lebih istimewa lagi, konsert itu juga bakal menampilkan penyanyi kesayangan negara iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Menurut Dimash, dia menyifatkan konsert ini sebagai satu pengalaman berharga kerana dapat membuat persembahan di Malaysia dan berada satu pentas bersama Siti.
“Pemilihan Siti pada saya sangat tepat kerana beliau adalah seorang penyanyi yang sangat luar biasa di Malaysia.
“Saya merasakan dia antara artis yang sangat mesra walaupun kami baru sahaja mengenali antara satu sama lain.
“Pada saya dia antara penyanyi yang memiliki suara paling lunak dan merdu di dunia. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau atas sokongannya kepada saya.
“Jadi disebabkan itu juga saya begitu teruja menantikan hari persembahan bersamanya yang turut akan dihadiri ribuan penonton Malaysia,” katanya.
Dimash berkata demikian pada sidang media konsert Dimash Qudaibergen Live In Malaysia yang berlangsung di W Hotel, Kuala Lumpur pada Khamis.
Mengulas mengenai konsert, Dimash atau nama sebenar, Dinmuhammed Qanatuly Qudaibergen, 29, berkata disebabkan masalah jarak antara negara, maka sesi perbincangan dengan Siti hanya dijalankan secara dalam talian atau menerusi panggilan telefon sahaja.
“Sebelum ini kami hanya berbincang mengenai perjalanan konsert ini secara dalam talian atau panggilan telefon sahaja.
“Ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke Malaysia. Jadi, perasaan saya begitu teruja pada masa sama, saya berjanji akan berikan persembahan terbaik kepada semua peminat di Malaysia.
“Tidak dinafikan perasaan gemuruh itu ada, tapi saya juga tidak sabar menantikan hari konsert pada Sabtu ini,” ujarnya.
Ditanya adakah akan berduet bersama Siti atau menyanyi dalam bahasa Melayu, Dimash enggan berkongsi lebih lanjut kerana mahu memberi kejutan pada malam konsert berkenaan.
“Semua itu rahsia, nantikan pada malam konsert nanti. Kalau nak tahu datanglah konsert saya,”katanya ringkas.
Konsert Dimash Qudaibergen Live In Malaysia akan berlangsung pada Sabtu, 24 Julai 2023, jam 8:30 malam bertempat di Axiata Arena Bukit Jalil.
Konsert tersebut dianjurkan oleh ACO MEDIA, Metalive World & AMM.
Terdahulu, Dimash mengadakan konsert solonya pada 6 Mei di Turkiye sebagai sebahagian daripada siri Jelajah Dunia.
Dimash yang memulakan karier nyanyian pada 2010 itu popular dengan lagu seperti S.O.S D'un Terrien En Détresse, Olympico, Unforgettable Day, Sinful Passion dan banyak lagi.
Selain menyanyi, Dimash juga merupakan seorang penulis lirik dan mahir menyanyikan lagu dalam 13 bahasa.
Dimash kini dinobat sebagai penyanyi “harta seni negara” di Kazakhstan.