Laman Utama
Bella Astillah Terpaksa Mengalah Duduk Dalam Aircond Sebab Suami Tak Tahan Panas
Pelakon dan penyanyi Bella Astillah mengakui terpaksa mengalah dan menghidupkan pendingin hawa ketika berada di rumah kerana suaminya, Aliff Aziz tidak tahan dengan keadaan cuaca panas.
Bella berkata, selain suami, anak-anaknya, iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna juga sukakan suasana sejuk dan dingin.
“So far, saya memang tahan cuaca panas. Tapi Aliff tak boleh. Dia tak boleh tahan… Dia memang tak boleh tahan dengan keadaan panas.
“Saya pula tak tahan sejuk! Memang ngamlah kami berdua. Seorang tak tahan panas, seorang lagi tak tahan sejuk.
“Anak-anak pun sama, kuat sejuk. Dah pasang aircond, buka lagi kipas. Jadi saya terpaksa mengalah,” katanya kepada Gempak ketika ditemui pada majlis pelancaran cawangan ke-13 pusat karaoke Loud Speaker di pusat beli-belah Datum Jelatek, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Diminta mengulas lanjut mengenai cuaca panas yang sedang melanda Malaysia, Bella berkata, dia lebih berhati-hati dan sering memantau aktiviti anak-anaknya, terutama selepas Ayden pernah dimasukkan ke hospital akibat demam panas.
“Seminggu sebelum raya, Ayden masuk hospital selama empat hari. Dia demam panas sampai kena sawan. Alhamdulillah, sehari sebelum Syawal tiba, dia dah dibenarkan untuk pulang. Cuma perancangan pulang ke Singapura dibatalkan, dan keluarga Aliff datang beraya bersama kami.
“Selepas insiden ini, saya menjadi terlalu takut, terutama banyak kes yang melibatkan kanak-kanak akibat cuaca panas terjadi. Apa yang saya buat adalah pantau aktiviti Ayden selain memperbanyakkan minum air dan aktiviti indoor,” katanya lagi.