Hiburan
Belum Ada Rezeki Nak Kahwin, Daiyan Trisha Cari Calon Suami Ada ‘Connection’ Dengan Allah - “Kalau Dia Serius, Jom Kahwin!”
Pernah menyasarkan untuk berkahwin pada usia 25 tahun, pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha bagaimanapun berkata dia belum mempunyai rezeki untuk bergelar isteri buat masa kini.
Setahun tidak bercinta Daiyan atau nama sebenarnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin memberitahu dia masih menunggu seseorang yang tepat untuk menjadi pasangan hidupnya.
“Sudah setahun saya tak menjalin hubungan cinta. Saya tidak ‘bitter’ dan tidak menentang cinta… saya suka sangat apa-apa sahaja tentang cinta dan perkahwinan.
“Cuma saya belum ada rezeki. Saya tunggu yang paling betul untuk saya… saya nak saja kahwin,” kata Daiyan kepada Gempak ketika ditemui di sidang media pelancaran album terbaharunya, Lovelorn di The Exchange TRX, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sudah memiliki aset sendiri seperti rumah dan kerjaya yang konsisten, Daiyan bagaimanapun berkata hanya mempunyai suami sahaja belum dikecapi dalam hidupnya.
Tidak pernah terburu-buru dalam membina ‘masjid’, selebriti berusia 31 tahun ini berkata dia tidak menetapkan kriteria yang khusus namun lelaki pilihan perlulah mempunyai ciri-ciri muslim yang baik.
“Cari suami, itu sahaja belum tercapai lagi. Saya rasa saya ini orangnya mementingkan kerjaya, saya rasa mungkin itu adalah sebab saya tak ada rezeki (dalam perhubungan).
“Saya tidak begitu memilih. Keluarga saya pun tidaklah memaksa.Saya tak ada ciri-ciri yang khusus. Tetapi yang paling penting dia ada ‘connection’ dengan Allah… perhubungannya dengan Allah,” katanya.
Dalam masa yang sama, penyanyi lagu Penat itu berkata, dia tidak menolak untuk berkahwin andai bertemu dengan pasangan yang sesuai.
“Saya tidak meletakkan had umur untuk berkahwin, tetapi untuk mendapatkan anak itu ada kerana ia melibatkan kesihatan dan biologi. Tapi untuk sekarang saya tidak fikir tentang anak pun.
“Sebelum ini saya meletakkan target untuk berkahwin pada usia 25 tahun, tapi sudah terlepas. Target terbaharu saya sekarang ini pada usia 33 tahun… kalau tidak 36 tahun pula.
“Kalau dia (calon suami) serius, saya pun terbuka… jom kahwin! Saya sudah sampai tahap begitu. Perkahwinan pun antara perkara yang disokong di dalam Islam,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Daiyan telah melancarkan album keduanya iaitu Lovelorn dengan menyajikan sebanyak 11 buah lagu hasil karya peribadinya.
Selain album terbaru, sebuah showcase eksklusif bersempena pelancaran Lovelorn juga bakal disajikan pada 1 dan 2 November ini di Aurum Theatre, TRX Exchange.