Berita
“Belum Rezeki & Tak Terfikir Pun Nak Ambil Anak Angkat” – Acong
Vokalis kumpulan Sweetchild, Acong mengakui tidak pernah terfikir untuk mengambil anak angkat walaupun masih belum dikurniakan cahaya mata sendiri selepas enam tahun berkahwin.
Acong berkata, tidak pernah terdetik rasa sunyi atau kekurangan tanpa kehadiran cahaya mata.
“Soal anak, semua pasangan berkahwin inginkan cahaya mata, siapa yang tak suka tengok bayi comel…Mungkin untuk saya dan isteri rezeki itu belum ada.
“Ada juga orang tanya tak sunyi ke belum ada anak, saya tak pernah rasa begitu kerana isteri sentiasa ada disisi. Tambahan lagi, Marya (isteri) pun sudah ada seorang anak dengan bekas suaminya dulu," katanya positif.
Acong dan isteri 'sekepala'...
Acong atau nama sebenarnya Ahmad Fauzi Manat menjadi suami kepada Marya Zuraida pada hari 15 Disember 2012, selepas 10 tahun menduda.
Sementara Marya sudah mempunyai seorang anak ketika itu.
“Biarlah kami tumpukan perhatian kepada anak kami itu sekarang ini. Doakanlah kami ada anak nanti.
“Jangan kata saya atau isteri tak mahu anak pula, Marya sangat teringinkan cahaya mata, tetapi belum ada rezeki kami,” katanya.
Acong ditemui Astro Gempak pada majlis pelancaran single terbaru 'Aku Untukmu' dan pengumuman 'Showcase Sweetchild Aku Untukmu’ di Singapura selepas 22 tahun tidak mengadakan sebarang persembahan di negara tersebut.
Sweetchild bersama penulis lirik 'Aku Untukmu' Musrad (paling kiri) dan Gnola (dua dari kanan)
Showcase Sweetchild akan diadakan pada 20 Oktober ini di FG Empire Delight Gallery at 50 Punggol, East Singapore.
Penjualan tiket untuk showcase tersebut hanya dijual dengan harga 20 Singapore Dollar dan setakat ini 85% sudah habis dijual.
“Alhamdulillah, kami (Sweetchild) sendiri tidak sangka tiket terjual laju, terima kasih kepada peminat di Singapura. Kami akan memberikan yang terbaik buat anda semua,” katanya.
Sweetchild teruja untuk bertemu peminat di Singapura
Tambah Acong, showcase akan bermula pada pukul 8 malam dan Sweetchild akan menyanyikan 15 buah lagu termasuk lagu cover, segmen tribute untuk penyanyi berasal dari Singapura selain lagu hit mereka sendiri.
Dalam perkembangan lain, Sweetchild kini sedang giat mempromosikan single ketiga mereka berjudul Aku Untukmu ciptaan Gnola dan lirik ditulis Musrad/Gnola dan akan dilancarkan di Singapura pada hari showcase berlangsung.
Terdahulu, selepas 17 tahun menyepi Sweetchild muncul dengan single berjudul Lepaskanmu pada tahun 2016 dan seterusnya single bertajuk Doa Dariku selepas Acong bergelar finalis program Gegar Vaganza.
Foto: Instagram @maryacong, @acongsweetchild