Berita
"Benda Yang Saya Paling Takut Terjadi Jugak..." - Bapa Saudara Muaz Kool FM Meninggal Akibat Covid- 19
Lebih kurang pukul 7:21 petang tadi, kita dikejutkan dengan berita empat lagi kematian di Malaysia akibat virus Covid- 19, menjadikan jumlah kematian setakat ini adalah 8 orang.
Berita tersebut dikongsikan di Twitter rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, @KKMPutrajaya.
Mengejutkan juga apabila membaca perkongsian Muaz Muhamed yang merupakan penyampai radio KoolFm apabila memberitahu bahawa bapa saudaranya meninggal dunia petang tadi akibat Covid1 19.
"Benda yang saya paling takut, terjadi jugak, Pak Uda saya, iaitu Idris b Atan, telah pergi selamanya. Kami sekeluarga masih terkejut dengan apa yang berlaku, begitu cepat virus covid ini merebak. Moga mak uda, kak long, kak ngah @syahirahidris dan lokman kuat dalam menghadapi dugaan yang getir ini.
Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman," kongsi Muaz di Instagram miliknya.
Perkara yang sama turut dikongsi oleh anak perempuan Allahyarham Idris iaitu Syahira Idris di akaun Twitter miliknya.
"Assalammualaikum semua.
"Dengan berat hati, ayah saya Idris Bin Atan telahpun meninggal dunia. Doakan jenazah ayah dicucuri rahmat. Doktor kata ayah pergi dalam keadaan tenang sangat.
"Terima kasih yang mendoakan ayah selama ni. Hanya Allah saja yang dapat membalas jasa kalian.
"Seperti yang dimaklumkan, kami tidak dapat menguruskan jenazah ayah. Saya dan kakak tidak dibenarkan keluar hospital. Hanya doa di kejauhan. Adik akan berada di Bahagian Forensik Hospital.
"Lega bila tahu ayah pergi dalam keadaan yang tenang sangat. Alhamdulillah Ya Allah," tulis Syahira di akaun Twitternya.
Buat masa sekarang, Syahira juga sedang dikuarantin dan sedang menunggu keputusan ujian yang dijalankan.
Menurut laporan KKM Putrajaya, kes kematian Allahyarham Idris merupakan kes ketujuh daripada lapan kematian setakat ini.
Salam takziah daripada kami di Gempak.