Laman Utama
Berang Rambut Dipotong, Pelajar Pukul Guru Disiplin Guna Batang Penyapu
Seorang pelajar tingkatan tiga sanggup memukul gurunya menggunakan batang penyapu kerana berang rambutnya dipotong.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin kejadian pada jam 12.30 tengah hari itu berlaku ketika mangsa yang juga merupakan guru disiplin berusia 52 tahun sedang membuat rondaan.
"Guru wanita berkenaan menerima laporan daripada seorang guru lain yang menyatakan pelajar lelaki berusia 15 tahun itu berambut panjang.
"Mangsa kemudian bertindak menggunting rambut pelajar tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Arsad berkata, pelajar tersebut marah dan mengugut mahu membunuh guru berkenaan.
"Pelajar itu kemudian bertindak memukul guru wanita berkenaan dengan batang penyapu hingga menyebabkan mangsa cedera di mata kirinya," katanya.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya melakukan serbuan ke sebuah rumah dan menahan pelajar terbabit.
"Hasil ujian air kencing ke atas pelajar berkenaan negatif dan semakan rekod mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah.
"Dia ditahan reman bermula Khamis hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan," jelasnya
#Potong Rambut
#Pukul
#Pelajar
#Guru Disiplin
#Berang
#Batang Penyapu
#Cikgu Disiplin
#Pelajar Pukul Guru