Hiburan
Berani Tayang Badan Demi Watak Filem, Aniq Durar; "Tapi Saya Masih Ada Batasnya"
Pelakon Aniq Durar mengakui sanggup mendedahkan tubuh dan tampil tanpa berbaju demi memenuhi tuntutan watak yang diberikan.
Menurut Aniq, atau nama sebenarnya Awangku Aniq Durar Pengiran Malyx, 31, dia hanya memenuhi kehendak skrip dan arahan pengarah untuk menghayati watak yang dipegang olehnya dalam filem genre suspen thriller Papa.
“Saya terima tawaran berlakon dalam filem ini kerana ia adalah filem pertama kemunculan saya di layar filem dan babak saya juga tidak banyak dalam cerita itu.
“Saya perlu tampil tidak berbaju kerana watak Dali ini seperti haiwan kerana akalnya tidak sempurna akibat perbuatan bapanya yang juga ketua ajaran ilmu hitam,” katanya kepada Gempak.
Aniq Durar berkata demikian ketika menghadiri malam gala filem Papa di Sunway Velocity, Kuala Lumpur pada Isnin.
Walaupun memberikan kelonggaran terhadap penampilannya dalam dunia lakonan, pemenang Pelakon Lelaki Harapan FFM33 itu tetap menetapkan had dan batasan dalam setiap tawaran yang diterimanya.
“Walaupun saya tampil tidak berbaju, tetapi saya masih tetap ada batasnya,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Aniq turut mengakui bahawa watak yang diterimanya dalam filem Papa agak kecil kerana ia merupakan kemunculan pertamanya dalam industri lakonan.
Dia juga menganggapnya sebagai salah satu cara untuk memperkenalkan diri dalam dunia seni.
“Memang saya dapat skrip untuk watak Dali ini tak banyak pun babak saya kerana ini penampilan sulung saya.
“Macam cameo tapi bagi saya ini adalah batu loncatan saya dalam dunia seni,” kongsinya.
Sekadar info, pelakon Aniq Durar merupakan seorang pelakon, model dan pengamal teater Malaysia. Dia mula dikenali selepas memenangi Pelakon Lelaki Harapan di Festival Filem Malaysia Ke-33 FFM33 melalui filem Pagari Bulan pada 7 Disember lalu.