Laman Utama
Berat Badan Lebih 100 KG, Pernah Sedut Lemak Pipi, Melly Goeslaw Akhirnya Potong Usus
Pesohor Indonesia, Melly Goeslaw dengan terbuka mengaku melakukan pembedahan bariatric atau pembedahan menurunkan berat badan yang juga dikenali dengan bahasa pasarnya, ‘potong usus’.
Pengakuan tersebut dibuat Melly menerusi kemas kini di akaun Instagramnya, hari ini.
Menerusi video yang memperlihatkan dirinya duduk di atas katil hospital, Melly sedang dipeluk sekaligus diberi semangat oleh suaminya, Anto Hoed.
“Bismilillah, aku ingin membagikan momen bahagiaku, salah satu langkah besar di hidupku.
“Ternyata ia amat menyenangkan. Aku melakukan bariatric,” tulis Melly sambil berterima kasih kepada doktor dan suami serta meminta pengikutnya menyimak sendiri fakta pembedahan tersebut.
Tahun lalu, komposer lagu dan penyanyi Ada Apa Dengan Cinta itu dalam banyak perkongsiannya mengaku berusaha menurunkan berat badannya dengan pelbagai cara.
Dia yang pernah mencapai berat badan lebih 100 kilogram, sempat kehilangan 30 kg tahun lalu selepas melakukan rutin diet dan bersenam dengan bantuan pakar.
Malah, perempuan berusia 48 tahun itu juga tidak segan mengaku telah melakukan sedut lemak pada bahagian pipinya. Namun Melly menegaskan dia tidak pernah memakan sebarang pil untuk menurunkan berat badan.
Ternyata, setelah usaha yang dilakukannya sempat ‘berjaya’ untuk menurunkan berat badan, kini Melly akhirnya mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan bariatric.
Portal Hellodoctor menjelaskan, pembedahan bariatric adalah istilah yang digunakan untuk semua jenis pembedahan bertujuan menurunkan berat badan. Ia bertujuan untuk mengurangkan kapasiti perut dan mengurangkan serapan makanan oleh usus selepas usaha bersenam dan lainnya tidak berjaya.
Pembedahan ini bukan bertujuan kecantikan atau kosmetik seperti pembedahan sedut lemak (liposuction surgery).
Ia adalah untuk mengurangkan risiko kesihatan. Ia juga hanya boleh dilakukan selepas usaha melalui perubahan gaya hidup gagal.