Laman Utama
Berdepan Masalah Ulser Perut, Anak Rayu Najib Menerima Rawatan Sewajarnya Di Hospital
Anak kepada mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Yana Najib memberitahu yang bapanya mempunyai masalah ulser pada perut.
Yana menerusi kemas kini di Instagram berkata, Najib disahkan menghidap masalah tersebut selepas menjalani prosedur endoskopi pada Sabtu.
“Salam semua. Datuk Seri Najib menjalani endoskopi pada Sabtu. Doktor menemui ulser baharu dalam perutnya. Ia adalah masalah yang berulang sejak lebih 15 tahun lalu. Pada tahun 2010, umum mengetahui yang beliau dimasukkan ke hospital selama beberapa hari kerana masalah ini.
“Pada tahun lepas, beliau juga berada di ICU di hospital swasta selama kira-kira seminggu dan telah menjalani 5 kali pemindahan darah bagi menggantikan darah yang hilang akibat pendarahan dalaman.
“Semasa proses endoskopi, doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) juga melakukan biopsi yang menyebabkan sedikit pendarahan dan ulser terpaksa dipotong untuk menghentikan pendarahan,” katanya.
Dalam pada itu, Yana memberitahu yang permintaan bapanya untuk mendapatkan pemantauan di HKL telah ditolak.
“Beliau meminta dipantau di HKL tetapi ditolak, doktor melepaskannya dan hari ini DSN hadir ke mahkamah.
“Doktor juga menukar ubat-ubatannya daripada biasa yang dia makan selama bertahun-tahun dan menghantarnya pulang kembali penjara Kajang.
“Pagi ini, ujian oleh pembantu perubatan menunjukkan bahawa tekanan darah DSN adalah sangat tinggi, berpotensi disebabkan oleh perubahan dalam ubat yang diberikan. Hal Ini menyebabkan Timbalan Pendakwa Raya memberitahu hakim bahawa kesihatan DSN tidak berada dalam keadaan baik dan perlu dihantar ke hospital.
“Atas dasar kemanusiaan, keluarga kami merayu kepada pihak penjara, hospital dan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri untuk melakukan perkara yang betul dan membenarkan ayah menerima rawatan dan pemerhatian perubatan yang sewajarnya,” katanya lagi.