Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Viral

Berderet Pakat Tempah Baju Dengan Rubini Lepas Pakai Hasil Air Tangan Ibu Sendiri

Amri Hassan 15/08/2018 | 09:37 MYT
Peserta Asia's Next Top Model (AsNTM), Rubini Sambanthan mengakui terkejut apabila dia menerima lebih tujuh tempahan apabila menggayakan sut yang dijahit sendiri ibunya baru-baru ini.
Kata Rubini, 27, dia tidak menyangka gurauan itu pada mulanya menjadi semakin serius hingga ada yang beriya-iya menempah sut terbabit dengannya.
"Ibu saya pernah membuka kelas menjahit suatu ketika dahulu, namun dia berhenti seketika untuk memberikan fokus kepada keluarga.
"Selepas abang saya meninggal dunia tahun lalu, saya memujuk ibu saya untuk memulakan semula minatnya, lari daripada terlalu memikirkan tentang kesedihan.
"Tak sangka pula apabila saya membuat poll di Instagram, ramai yang berminat untuk menempah sut itu daripada ibu saya," katanya kepada Gempak.
Rubini menerusi Instagramnya terlebih dahulu memuat naik sekeping foto dia menyarung sut berkotak biru ketika menghadiri Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW2018) minggu lalu.
Selepas memuat naik foto berkenaan, Rubini dihujani dengan pertanyaan dan permintaan daripada teman-teman rapatnya di Instagram yang ingin menempah sut berkenaan.
Rubini yang memulakan karier dalam bidang peragaan sejak usia 23 tahun itu menjadi peserta tunggal Malaysia untuk berentap bersama 13 peserta lain dalam Asia's Next Top Model musim keenam.
AsNTM adalah sebuah program realiti pencarian model dari rantau Asia. Pada musim kedua, peserta dari Malaysia, Sheena Liam berjaya menjadi juara dan kini menjadi model di kota New York, Amerika Syarikat.
AsNTM 6 akan ditayang bermula 22 Ogos, setiap Rabu, jam 9 malam di saluran FOX Life (Astro 711 dan 722 HD) dan unifi TV (saluran 455).
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @rubinirubi, @ewan_jade
#Asia's Next Top Model #KLFW2018 #Asia's Next Top Model #Rubini Sambanthan
;