Gaya Hidup
Berdikir Sambil Berkain Pelikat! Ini Momen Yang Anda Terlepas Dalam Tari '19
Selepas berehat selama lima tahun, acara Festival Tarian Antarabangsa kembali lagi tahun ini dengan tema Renewal - Dance in the 21st Century.
Festival kali ke-10 sejak tahun 1994 itu menyaksikan pembabitan institusi tarian tempatan dan luar negara.
Selain negara jiran Indonesia, Singapura dan Thailand, Tari 19 turut disertai wakil dari Filipina, Kemboja, Jepun, India, Sri Lanka, China, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.
Berlangsung selama lima hari, Tari 19 dimanfaatkan dengan seminar dan bengkel tarian selain persembahan tarian pada setiap malam.
Gempak berkesempatan untuk menyaksikan sendiri persembahan malam gala Tari 19 yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Panggung Anniversary, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sebanyak 12 persembahan disajikan buat penonton yang hadir pada malam itu.
Antara yang menarik perhatian ialah persembahan daripada Aswara dan ASK Dance Company sendiri menerusi tarian Dikir.
Dikir merupakan persembahan yang diinspirasikan daripada kesenian yang popular di Kelantan iaitu dikir barat namun diolah dengan gerakan berulang bagi membentuk satu jalan cerita.
Apa yang difahami daripada persembahan itu, ia menceritakan tentang perjalanan individual sama ada lelaki atau perempuan untuk mencari kesempurnaan dan keseimbangan hidup bagi mencapai sesuatu matlamat.
Lebih menarik sebenarnya semua penari hanya memakai kemeja-t putih sambil berkain pelikat! Penuh estetik dan tradisi!
21 penari memenuhi ruang pentas dan itu menjadi persembahan paling memukau pada malam gala Tari 19.
Turut mencuri perhatian adalah kumpulan tarian daripada University of Philippines dengan persembahan Gunita Nang Kabataan (Memories of Youth).
Tarian kontemporari yang melibatkan 10 penari itu diolah daripada gerakan balet dengan menceritakan tentang pengembaraan alam remaja. Sangat menghiburkan!
Tidak ketinggalan juga kumpulan tarian dari Guangxi Arts University yang mengolah cara hidup bertani suku kaum Zhuang di daerah China.
Tarian itu hanya dipersembahkan oleh sekumpulan wanita yang membawa kayu dan bergerak dalam ritma sama. Memang kemas dan cantik.
Selain itu, malam gala Tari 19 turut diserikan dengan persembahan dari Universitas Surabaya, Sapphire Creations Dance Company, Natanda Dance Theatre, Taipei National University of the Arts, Chulalongkorn University, Cambodian Living Arts, The Hong Kong Academy for Performing Arts dan Korea National University of Arts.
Syabas diucapkan buat Aswara atas penganjuran acara hebat ini!