Hiburan
Bergaduh Kerana Kerja, Fafau Terkejut FBI Baling Pen!
Personaliti radio popular, Fara Fauzana (Fafau) mengenang kembali memori 'pergaduhan' bersama Faizal Ismail (FBI).
Sudah menjalinkan persahabatan selama 20 tahun, Fafau dan FBI mula berkenalan semenjak mereka sama-sama belajar di Universiti Teknologi MARA.
"Kami mula mengenali sebagai junior dan senior. Selepas itu, hubungan kami semakin rapat sebagai teman sekerja.
"Sepanjang persahabatan, terlalu banyak perkara yang kami gaduhkan dan semuanya berkenaan dengan kerja. Kami tak pernah bergaduh berkenaan dengan hal peribadi.
"Apa yang saya ingat, kemuncak 'pergaduhan' kami ketika berada di dalam konti sewaktu bekerja. FBI tiba-tiba membaling sebatang pen kepada saya. Saya sangat terkejut dan saya rasakan semua orang pun terkejut.
"Sebelum ini, jarang lihat FBI mengekspresikan kemarahannya dan apabila dia melakukan perkara sebegitu, bukan sahaja saya yang terperanjat, semua orang dalam studio pun turut terkejut," kata Fafau.
Tambah FBI, biarpun terjadinya pergaduhan antara mereka, semuanya tidak berpanjangan dan mereka tidak menyimpan dendam.
"Tak kira apa jua keadaan dan pergaduhan yang terjadi antara kami, semuanya selesai dengan cepat. Kami bergaduh, marah serta berbincang mengenai jalan penyelesaian... semuanya membabitkan kerja.
"Kami tidak menyimpan kemarahan dalam hati dan memahami diri masing-masing. Kalau kami ambil secara 'personal', mungkin kami tak bertahan sebagai gandingan yang baik. Semua orang ada kelemahan dan kami memhami diri masing-masing untuk terus kekal mencapai keserasian," kata FBI.
Fafau dan FBI ditemui di sesi siaran 'DBilique Fafau & FBI BFF 20 Tahun' di GoHalal Mart Cafe, Dagang Net Tower, Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.
Turut hadir di majlis terbabit ialah Datuk Samsul Husin selaku Timbalan Pengerusi Eksekutif DNeX dan Mohamed Hazli Mohamed Hussain selaku Pengerusi Eksekutif GMeC.
"Ia merupakan kolaborasi antara DBilique dan GoHalal menerusi kempen BFF. Kempen berlangsung selama tiga minggu dan majlis ini merupakan acara kemuncaknya di GoHalal Mart Cafe.
"Memandangkan GoHalal Mart Cafe ini baru sahaja dilancarkan, kami memilih lokasi ini kerana bersesuaian dengan topik BFF, rakan-rakan yang bergelar BFF akan selalu memilih cafe sebagai tempat mereka melepak dan menghabiskan masa bersama," kata Fafau lagi.