Laman Utama
Berhenti Rehat Di R&R, Roslan Shah Tersentuh Tengok Gelandangan, Beri Bantuan Dan Selipar Hotel - “Rasanya Dia Belum Makan, Pasti Lapar…”
Pepatah ada menyebut, tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Mungkin pepatah tersebut boleh mencerminkan situasi yang dilalui oleh penyanyi dan pengacara Roslan Shah.
Menerusi hantarannya di Instagram baru-baru ini, Roslan berkongsi dua rakaman yang menyaksikan dirinya membantu seorang gelandangan ketika berhenti rehat di R&R Seremban.
Roslan juga dilihat memberi sejumlah wang kepada lelaki itu dan berpesan supaya membeli makanan.
Menurut Roslan, pada awalnya, dia menyangkakan individu berkenaan merupakan orang kurang siuman. Tetapi sangkaannya meleset sama sekali.
“On the way balik Kuala Lumpur dari bercuti di Port Dickson. Berhenti di R&R Seremban sekejap. Walaupun nampak macam orang gila, tetapi sebenarnya tidak.
“Rasanya, dia belum makan, pasti lapar. Lepas tu tengok dia berkaki ayam, Cik Lan teringat ada selipar hotel dalam bag, nak suruh dia pakai tapi dia lari,” ujar Roslan.
Sungguhpun pada awalnya lelaki berkenaan menolak, namun, menurut Roslan, lelaki berkenaan akhirnya menerima pemberiannya itu.
“Akhirnya dia ambil selipar itu dan pakai. Alhamdulillah, amin. Kita doakan yang baik-baik ya… Amin,” tulisnya.
Dalam pada itu, menerusi rungan komen, ada yang memuji tindakan Roslan dalam memberikan bantuan kepada gelandangan itu.
“Apa pun orang cakap pasal Roslan Shah, saya tak kisah sebab ada sisi-sisi lain kebaikan Cik Lan yang orang lain tak nampak. Sifat suka bersedekah dan hormat dengan orang yang tua walaupun di sebaliknya perangai gila-gila,” ujar seorang pengikutnya.