Berkecai Hati Safwan Nazri Dapat Tahu Isteri Keguguran Anak Sulung Ketika Shooting MALBATT: Misi Bakara Di Turki!
Perasaan teruja dapat jalani penggambaran filem MALBATT: Misi Bakara di Tukri hilang apabila pelakon Safwan Nazri menerima panggilan daripada isteri yang mengalami keguguran anak pertama mereka.
Usia kandungan sudah cecah empat bulan, Safwan mengakui dia hampir tidak mahu meneruskan penggambaran filem itu disebabkan terlalu sedih dengan berita tersebut.
"Sewaktu saya terbang ke Turki untuk penggambaran filem MALBATT, isteri saya sedang hamil empat bulan. Tapi beberapa hari tiba di sana, saya dapat panggilan daripada dia.
“Isteri saya beritahu yang dia mengalami keguguran. Perasaan teruja nak berlakon dengan pelakon hebat, tiba-tiba hilang sebab rasa nak balik Malaysia,” katanya.
Safwan berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem lakonan terbaharunya berjudul Malbatt: Misi Bakara yang diadakan di GSC, IOI Mall Putrajaya, pada Selasa.
Dalam pada itu, Safwan bersyukur apabila dia akhirnya dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia enam bulan dan diberi nama Cinta Sofia.
Berkongsi mengenai perlibatannya dalam filem arahan Adrian Teh itu, Safwan berbangga apabila dipilih untuk berkerjasama dengan barisan pelakon hebat tanah air.
"Pengalaman saya dalam filem ini sebenarnya sangat gembira. Awalnya saya pergi casting dan saya fikir saya tidak akan terpilih. Tapi tiba-tiba dapat mesej daripada team produksi dan beritahu saya dapat, memang gembira.
"Lebih-lebih lagi dapat berlakon sekali dengan aktor-aktor hebat tanah air macam Hairul Azreen, Bront Palare dan ramai lagi," tambahnya.
Selain Safwan, filem yang menelan kos belanja sebanyak RM20 juta itu turut membariskan pelakon seperti Shaheizy Sam, Hairul Azreen, Bront Palarae, Tony Eusoff, Zahiril Adzrin, Iedil Putra dan ramai lagi.
MALBATT: Misi Bakara bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 24 Ogos ini.