Hiburan
Berkenduri Selak Kain Artis Malaysia, Erma Fatima Mohon Sarah Yasmine Berhenti! - "Berambus Dari Malaysia"
Gempak
30/04/2024
|
02:50 MYT
Penerbit dan pengarah terkenal Erma Fatima menggesa wanita kelahiran Singapura yang mendakwa sebagai kekasih kepada Aliff Aziz iaitu Sarah Yasmine segera berhenti daripada terus melondehkan kisah artis Malaysia.
Kata Erma, dia amat kecewa dengan sikap wanita itu yang sudah membuka aib beberapa artis tempatan sekali gus menggesa Sarah supaya berhenti menghancurkan industri hiburan Malaysia.
"Balik negara kau dan selesaikan di sana. Jangan jatuhkan maruah orang dalam negara aku.
"Seorang wanita yang kecewa ditinggalkan kekasih. Dia juga bukan warga negara Malaysia, masuk ke dalam negara aku kemudian buat 'kenduri selak kain' artis Malaysia dan semua orang meraikannya.
"Media sosial, pengamal media semua raikan orang luar itu sedangkan masalah dia adalah dengan artis negaranya sendiri.
"Saya sangat marah dengan tindakan yang dilakukannya. Saya faham perasaan dia yang kecewa selepas ditinggalkan kekasih selepas memberi segala-galanya tetapi jangan datang ke sini dan hancurkan industri seni Malaysia," katanya.
Ruhainies, Sophia buat laporan polis
Menurut Erma, tindakan keterlaluan Sarah tidak sewajarnya 'diraikan' sebaliknya dia menggesa setiap individu yang menjadi sasarannya serta dimalukan di media sosial untuk membuat laporan polis serta aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Ruhainies dan Sophia tolong buat laporan polis untuk hentikan dia. Anda berdua ada hak untuk melakukannya, tidak kisahlah ada skandal atau sebagainya.
"Di mana SKMM? Apa pihak kementerian lakukan untuk hentikan orang luar yang masuk dan hancurkan industri seni tanah air. Saya harap 'kenduri selak kain' ini dihentikan dan pihak SKMM lakukan sesuatu. Kita ada akta.
"Dia orang luar, bukan terbabit dalam industri kita. Berambus, keluar dari Malaysia dan selesaikan masalah mereka sendiri. Dua-dua bukan orang Malaysia pun, tak perlu selak kain-kain artis Malaysia," katanya.
Gesa Aliff tampil
Dalam masa sama, Erma turut memohon masyarakat tempatan untuk berhenti memberi perhatian kepada wanita itu sekali gus menggesa Aliff untuk tampil menyelesaikan isu yang berlaku dan keluar dari negara ini.
"Berhenti angkat dia dan raikan kenduri orang luar lakukan. Sebab itu saya kata pada Sophia, jangan datang.
"Saya juga minta Aliff, jadi lelaki sejati. Jangan duduk dan diamkan diri selepas lakukan semua ini. Kau lapor polis dan ada hak untuk hentikan wanita itu. Kenapa kau hilang? Kau buat masalah sana sini kemudian hilang. Kau buat hal dalam negara aku pula.
"Tak perlu cerita isu gam dan sebagainya, selesaikan isu ini sekarang dan berambus," katanya.
Terdahulu, industri hiburan tanah air digegarkan dengan pendedahan Sarah yang membongkar rahsia Aliff dan Ruhainies termasuk dakwaan mereka bercinta, selain dikatakan menggunakan Aliff untuk menjatuhkan Bella.
Pendedahan dibuat Sarah turut mengheret lebih ramai artis termasuk Caprice, Emma Maembong, Chacha Maembong serta pasangan suami isteri, Tom dan Fuad Rahman.
Lebih mengejutkan nama pelakon Meerqeen juga dipetik selepas pelakon itu mengaku hanya mengenalinya sebagai peminat, namun Sarah mengatakan hubungan mereka lebih dari itu.
Sumber: Harian Metro