Laman Utama
Berlaku Pergelutan, Bekas Pemain Bola Sepak Ditahan Terbabit Kes Pecah Rumah – “Hasil Rompakan Disimpan…”
Bekas pemain bola sepak sekali lagi terpalit dengan isu sensasi apabila yang terbaharu membabitkan kes pecah rumah yang berlaku di Pontian, Johor, baru-baru ini.
Menurut sumber, suspek yang pernah beraksi untuk beberapa pasukan utama Liga Super terbabit kes pecah rumah pada Isnin lalu hingga menyebabkan mangsa kerugian puluhan ribu ringgit.
Katanya, bekas pemain bola sepak berusia 33 tahun itu ditahan selepas Polis melihatnya dalam keadaan mencurigakan lalu mendapati dia disyaki terbabit dengan kejadian pecah rumah.
"Suspek cuba bertindak agresif apabila Polis cuba menahannya menyebabkan berlaku sedikit pergelutan kerana dia tidak mahu memberikan kerjasama.
"Hasil siasatan, suspek mengakui melakukan aktiviti pecah rumah sebelum dia bersama seorang lagi rakannya menunjukkan lokasi di mana hasil rompakan disimpan semalam," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Katanya, bekas pemain bola sepak itu bersama rakannya di tahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Mengikut rekod, bekas pemain bola sepak itu agak terkenal beberapa tahun lalu kerana pernah beraksi bersama beberapa pasukan gergasi Liga Super di Selatan dan Utara tanah air.
Malah, dia juga pernah berkelana ke Liga Thailand selama dua tahun selain turut menjalani pemilihan bersama kelab berpengkalan di Jepun.
Kali terakhir dia beraksi bersama pasukan Liga Super adalah pada 2018 bersama kelab berpengkalan di utara tanah air sebelum bekas pemain itu dikatakan menukar haluan dengan bermain bersama skuad Liga M3.
Sumber: Harian Metro