Berlegar Dakwaan Ada Kedai Mamak Balut Bekas Nasi Beriani Dengan Seluar Dalam Lelaki, Presma Lapor Polis
Baru-baru ini, viral di media sosial mengenai seorang TikToker yang mendakwa ada segelintir pengusaha restoran mamak yang melakukan beberapa hal pelik seperti membalut bekas nasi beriani dengan seluar dalam lelaki, dan menggunakan air kencing toyol sebagai pelaris.
Susulan daripada itu, satu laporan polis dibuat oleh Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) berhubung dakwaan yang dibincangkan oleh netizen di platform perkongsian video berkenaan.
BERITA TRENDING: Guna Jantung Babi Untuk Teruskan Hidup, Drama Si Jantung Hati Tampil Jalan Cerita Unik
Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali Taib Khan menyifatkan dakwaan dibuat pempengaruh di TikTok itu sebagai tohmahan yang tidak masuk akal dan berniat jahat.
"Kami tidak tahu apa tujuan dia. Bagi saya ini satu tohmahan yang melampau dan kami akan susuli dengan tindakan mahkamah walaupun dia padam (video), tiada ruang untuk kami tarik balik laporan polis.
"Kita tidak akan berdamai dengan dia kerana fitnah yang dilakukan itu terlalu mengaibkan dan kita mahu jadikan kes ini sebagai pengajaran kepada semua blogger atau pempengaruh TikTok," katanya baru-baru ini.
Menurutnya, hampir 100 laporan polis sudah dibuat oleh ahli Presma di seluruh Malaysia dan beliau menjangkakan lebih ramai lagi akan tampil membuat laporan.
Katanya, tohmahan itu perlu disiasat dengan teliti kerana ia menjatuhkan kredibiliti pengusaha restoran mamak selain dilihat menyentuh sensitiviti perkauman 3R (agama, kaum, diraja).
Terdahulu tular satu video berdurasi dua minit 20 saat yang dimuatnaik di TikTok meminta orang ramai tidak berkunjung ke restoran mamak yang didakwa melakukan empat kelakuan jijik.
Video itu kini mencecah 1 juta tontonan dan dikongsi hampir 30,000 kali sejak dimuatnaik pempengaruh berkenaan sejak semalam.
BERITA TRENDING: Siti Nurhaliza Bagi Respon, Mahalini Sedia Jumpa Bincang Buat Lagu - “Saya Rasa Insecure”
Pempengaruh itu menerusi video terbabit mendakwa ada restoran mamak yang menggunakan seluar dalam lelaki berwarna putih untuk membalut nasi, dan menggunakan air kencing toyol sebagai ramuan masakan kari.
Selain itu pempengaruh terbabit mendakwa ada bekas pekerja restoran mengakui sendiri bahawa bekas majikannya menggunakan air mandian untuk memasak kuah selain mendakwa kuah dal dicampur dengan najis yang dibekukan.
Sumber: Harian Metro