Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Bersara Dari MotoGP, Ini Fakta Valentino Rossi Termasuk Cara Rai Kemenangannya Yang Unik

Maliah Surip 06/08/2021 | 14:50 MYT
Valentino Rossi menjadi trending sejak malam tadi selepas memutuskan untuk meninggalkan balapan yang menjadi taman permainannya sejak lebih 26 tahun lalu.
Pemilik nombor 46 dengan pencapaian 7 kali juara itu mengumumkan dirinya pencen dari MotoGP; lalu menarik minat dan perhatian bukan sahaja peminat tetapi juga penggemar sukan permotoran.
Ikon lumba motor Itali yang kini mewakili pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) membuat pengumuman bersejarah tersebut pada sidang akhbar Grand Prix (GP) Styria di Litar Red Bull Ring di Styria, Austria.
"Sukacita untuk saya umumkan keputusan persaraan bakal dilakukan apabila berakhir saingan MotoGP musim ini.
“Secara jujur, ia adalah berita yang sangat sedih apabila mengetahui tahun depan saya tidak akan lagi berlumba di litar sebagai pelumba MotoGP selepas hampir 30 tahun bergelar pelumba kompetitif," katanya.
Telah meraih sebanyak 89 kali kemenangan, pelumba berusia 42 tahun yang juga dikenali sebagai The Doctor ini ternyata punya banyak fakta unik di luar dunia kariernya.
Berikut beberapa fakta yang disenaraikan oleh portal Redbull.com mengenai pesohor sukan dunia ini.
1 Kemenangan Rossi selalu diraikan dengan cara unik di kampung halamannya, Tavullia yang telah menjadi satu tradisi. Ia adalah loceng di sebuah gereja yang akan berdenting setiap mendapat khabar anak kampung tersebut menjadi juara. Loceng tersebut akan berbunyi selama satu jam tak kira masa kemenangan termasuk pagi atau tengah malam.
2. Rossi tidak pernah menyifatkan motosikalnya sebagai sebuah jentera, tetapi adalah kekasih yang disayangi sepenuh hati. Beliau diketahui selalu bercakap dengan jentera Yamaha M1 miliknya setiap petang apabila berasa sunyi.
Sewaktu berhijrah ke Ducati pada 2010 selepas tujuh tahun yang sempurna bersama Yamaha, dia selalu menulis surat cinta kepada 'kekasihnya'.
"Tiada siapa boleh merampas memori indah ini dari kita. Pada Welkom GP tahun 2004, kita pertama kali bersama 'mencium' rumput di trek. Anda memandang tepat ke arah saya dan mengucapkan 'I Love You'.
3. Dalam kehidupan peribadi, Rossi pernah menjalin hubungan bersama model dan hos televisyen, Linda Morsellli. Mereka pernah merancang untuk membina keluarga sebelum hubungan tersebut kandas pada tahun 2016. Linda kemudian keluar bersama pelumba Formula 1, Fernando Alonso.
4. Pernah 'bermain kejar kejar' dengan pemungut cukai pada tahun 2007. Beliau mengelak untuk membayar dengan alasan hanya tinggal di Itali selama 90 hari setahun. Rossi juga mendakwa kebanyakan masa dihabiskan di London, di kediaman yang didiami bersama pengurusnya.
Untuk membuktikan beliau tidak pernah tinggal lama di Itali, Rossi pernah terbang ke London sebelum menaiki jet peribadi pulang ke Itali.
Bagaimanapun pemungut cukai melakukan siasatan terperinci dengan menyiasat vilanya di Tavullia, kereta serta membership di gim sebelum meminta Rossi membayar sebanyak RM324 juta. Rossi membayar separuh daripada cukai tersebut dan kini menetap di Itali.
5. Bapa Rossi, Graziano adalah merupakan salah seorang pelumba terbaik dalam 250cc (beliau memenangi tiga kali GP) dan 500cc World Championships pada tahun 70an.
Graziano bercerai dengan ibu Rossi, Stefania, berkahwin semula dan memiliki seorang anak lelaki, Luca Marini.
Rossi kemudian mengambil adik tirinya itu 'berpayung' bersamanya. Marini menang dalam pertandingan Moto2 tahun lalu.
6. Walaupun bersara dari MotoGP, kehidupan Rossi tidak pernah meninggalkan balapan motor. Beliau sekian lama telah memiliki bisnes yang terkait dengan balapan, malah Rossi juga diketahui mempunyai team MotoGP sendiri bermula tahun hadapan. Beliau juga memiliki akademi balapan dengan pelumba pelumba muda yang mula menunjukkan prestasi baik.
7. Sejak dahulu, Rossi akan meraikan kemenangannya dengan cara yang cukup unik. Antaranya beliau pernah membawa boneka seks yang dinamakan Claudia Schiffer. Hal itu dikatakan dilakukannya sebagai sindiran pada salah seorang musuh ketatnya, Max Biaggi yang ketika itu bercinta dengan supermodel Naomi Campbell.
Malah selepas perlumbaan di Jerez pada 1999, Rossi juga pernah tiba-tiba berhenti di tepi trek dan masuk ke tandas umum setelah meraikan kemenangannya.
8. Hubungan tegang Rossi bersama Jorge Lorenzo bukan satu rahsia. Garaj jentera mereka dibatasi dengan penyekat.
Kredit Foto: Redbull.com, Eurosport, Ultimate Motocycling
#Bersara #MotoGP #Itali #Valentino Rossi #46 #The Doctor #Vale
;