Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Bertahun Tak Bertegur, Amy Search & Awie ‘Rujuk’ Balik: “Cukuplah, Saya Pun Makin Tua, Kubur Makin Memanggil”

Maliah Surip 10/07/2023 | 04:53 MYT

‘Perang dingan’ yang terjadi di antara dua vokalis rock legenda tanah air iaitu Datuk Amy Search dan Dato Awie Wings bukan rahsia dalam kalangan penggiat muzik tempatan.

Namun setelah lebih setahun tidak berkomunikasi, Amy dan Awie mengakhiri ‘perang dingin’ tersebut dengan silaturahim dan ukhuwah yang lebih baik.
Awie yang menyifatkan hubungan baik yang kembali terjalin sebagai ‘rujuk’ malah bersyukur kerana perasaan marah, sakit hati dan benci antara satu sama lain akhirmya terhapus dengan kemaafan.
“Ya kami sudah ‘rujuk’, Alhamdulullah,” jawab Awie ringkas berseloroh.
“Saya rasa bulan ini bulan yang sangat mulia, ada orang mengutuskan seseorang untuk berbincang, saya minta masa fikir dulu dan saya juga ada komitmen.
“Saya fikir juga saya sebagai yang lebih muda akhirnya selepas beberapa minggu kami berjumpa.
“Saya sayang dia sebagai brother, pelopor rock dan dalam Malaysia ini tak ada orang boleh dapat nombor satu kecuali Amy,” tambah Awie lagi.
Awie ditemui media selepas membuat persembahan finale malam pertama pada NUSA FEST yang berlangsung hujung minggu lalu.
Ironi pertemuan dan perdamaian yang terjadi juga diatur oleh Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shirazdeen Karim dan Opie Sofea sebelum NUSA FEST berlangsung. Wings dan Search menjadi headliners untuk festival tersebut.
Bercerita lanjut, Awie mendedahkan hubungan mereka menjadi dingin bertahun lamanya selepas pemergian pemain dram Search iaitu Allahyarham Yazit Ahmad pada 2019.
“Bertahun (tak bertegur), sejak Abang Yazit meninggal dunia. Saya akur saya orang yang umur lebih bawah, saya pergi jumpa, bermaafan, berpeluk, cium, sebagai adik dan abang sebagai sahabat perjuangan dalam industri.
“Saya pun makin tua, kubur pun sudah memanggil, cukuplah, Syukur,” katanya lagi.
Antara faktor yang membuat hatinya lembut untuk berbaik akui Awie selepas hubungannya dengan bekas isteri, Rozana pulih sekaligus memberi peluang beliau bertemu dua anaknya yang telah lapan tahun tidak bersua.
“Apabila jumpa anak dan bekas isteri, cukuplah zaman perang-perang, benda-benda bodoh ini cukuplah. Mana kawan yang bergaduh dengan saya semua kami berbaik balik, saya tak mahu (panjang),” katanya lagi.
Untuk rekod, Amy mengakui berkecil hati dengan komen pedas yang dikeluarkan Awie mengenai kepincangan yang terjadi dalam Search. Awie antaranya menyifatkan Amy tidak bertanggungjawab kerana mengabaikan kebajikan dan ego apabila ada dalam kalangan anggota kugiran tersebut jatuh sakit, termasuk Allahyarham Yazit.

#Viral #Awie #Amy Search #Rock #Berbaik #Perang Dingin
;