Laman Utama
“Best Watak Antagonis Ni, Gaduh Dengan Orang” - Chacha Tak Kisah Selalu Ditawarkan Watak Jahat
Lain pelakon, lain cara pemahamannya. Menurut adik kepada dramatis Emma Maembong, iaitu Chacha Maembong, dia tidak kisah jika sering diberikan pilihan untuk memegang watak antagonis dalam drama asalkan karakter tersebut berlainan dengan karakter-karakter lain yang pernah dijayakan.
Pemilik nama lengkap Siti Aisyah Ismail, 25, itu berkata, sungguhpun memegang watak antagonis, namun, dia akan cuba sehabis baik untuk memberikan ‘nyawa’ kepada watak berkenaan agar dapat menarik perhatian penonton dan juga khalayak ramai.
“Kalau produser asyik tawarkan saya watak antagonis, saya tak kisah, saya akan terima saja. Tapi, kalau boleh, kita buat watak antagonis yang lain-lain, bukan sama setiap masa.
“Sebab bagi saya, tak semesti kalau kita pegang watak antagonis kita perlu bising dan menjerit-jerit. Ada juga antagonis yang pendiam dan tidak dapat ditebak menerusi body language dia.
“Tapi memang saya akan terima semua tawaran. Best watak antagonis ni, gaduh dengan orang,” ujar Chacha sambil tertawa.
Chacha berkata demikian ketika ditemui pada sidang media maya drama Cukup Derita Itu 2 yang diadakan baru-baru ini.
Terlanjur bicara mengenai watak antagonis, Chacha turut mengulas mengenai karakter Ellana yang dijayakan dalam drama bersiri Cukup Derita Itu 2.
Pada awalnya, Chacha mendedahkan yang dia berasa gugup untuk membawakan watak berkenaan. Namun, hatinya lega apabila pengarah dan juga kru penggambaran tidak berhenti memberikan sokongan kepadanya untuk menjiwai watak berkenaan.
“Ketika mula-mula ditawarkan watak Ellana, saya mengaku yang saya tidak mampu untuk buat. Saya maklumkan kepada produser dan pengarah supaya mereka menawarkan watak tersebut kepada orang yang mampu.
“Namun, mereka betul-betul mahukan saya menjayakan watak Ellana itu dan akhirnya saya terima cabaran yang diberikan. Alhamdulillah, berkat sokongan dan dorongan ramai orang, saya semakin selesa menjiwai watak Ellana,” katanya lagi.
Selain Chacha, Cukup Derita Itu 2 turut dibintangi oleh Hisyam Hamid, Ruhainies, Lia Natalia dan Didie Alias.
***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!