Laman Utama
Beyonce Rakam Semula Lirik Lagu Kerana Disifatkan Menghina OKU
Pesohor Beyonce baru melancarkan album terkininya, Renaissance. Di sebalik ramai peminat yang bengang kerana beberapa lagunya sempat bocor sebelum waktu pelancaran, nampaknya penyanyi itu berdepan dengan sebuah lagi konflik.
Kali ini Beyonce menerima kritikan dan disifatkan sebagai kurang sensitif apabila terdapat perkataan dalam salah sebuah lagunya yang dikatakan tidak sesuai digunakan kerana menyinggung golongan kelainan upaya (OKU).
Ada dalam kalangan pendengar mendakwa lirik Spazzin' on that ass, spazz on that ass’ tidak sesuai digunakan, terutama pada perkataan Spazz.
Perkataan spazz biasanya merujuk kepada golongan OKU sekaligus bersifat prejudis kepada mereka.
Meski perkataan tersebut juga boleh membawa maksud kejutan atau ‘menjadi gila’ namun para pemprotes yang berkempen menyatakan ia merujuk kepada perlakuan spastik yang terjadi kerana pesakitnya gagal atau tidak mampu mengawal pergerakan terutama tangan dan kaki mereka.
“Anda memalukan Beyonce. Anda sepatutnya menjadi idola bukan dengan mencetak duit secara malas dan menggunakan perkataan seumpama ini,” selar seorang pengguna media sosial.
Enggan isu tersebut berpanjangan, Beyonce mengambil langkah cepat dengan menukar penggunaan perkataan yang digunakan dalam lirik lagu Heated.
Kepada CNN, pihak pengurusan penyanyi berusia 40 tahun itu mengaku pemilihan perkataan tersebut bukan untuk menyinggung sesiapa, malah mereka akan segera menukar perkataan tersebut sebagai tanda menghormati pendapat semua pihak.
“Perkataan tersebut digunakan bukan untuk menyakitkan atau menyinggung sesiapa. Ia akan ditukar,” kata kenyataan tersebut.
Ironi Renaissance yang menjadi album terkini sejak kali terakhir muncul dengan Lemonade pada 2016 disifatkan Beyonce sebagai sebuah karya yang ‘membentangkan’ pemikiran penuh kebebasan.