Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Biadab & Melampau! Satu Lagi Iklan Raya Promosi Judi Dalam Talian Cetus Kemarahan

Maliah Surip 17/04/2021 | 00:59 MYT
Belum pun selesai isu sebuah iklan Hari Raya Aidilfitri yang mempromosikan perjudian dalam talian diperkatakan dan dalam siasatan pihak berkuasa, kini muncul sebuah lagi iklan dengan konsep serupa.
Kali ini, dalam video berdurasi sekitar 3 minit itu memaparkan kegusaran pasangan suami isteri yang terpisah di kampung dan bandar mahu menyambut Aidilfitri yang menjelang tiba.
Jalan cerita iklan tersebut menunjukkan si suami yang berputus asa selepas usaha bekerja tidak berjaya dan terus ditimpa musibah kerana motor dicuri kemudian mencari jalan mudah mendapatkan duit agar boleh meraikan hari raya.
Dalam salah satu babak, jelas si pelakon lelaki mencuba nasib bermain judi dalam talian dan mendapat untung.
Dengan keuntungan itu, dia berjaya pulang ke kampung bertemu isteri dan membawa hadiah termasuk baju raya dari duit yang dipercayai hasil judi tersebut.
Malah pada babak akhir, si suami dilihat mengajar isterinya pula bermain judi dalam talian untuk mendapatkan duit secara mudah.
Iklan tersebut sekaligus mencetus kemarahan netizen. Ia dianggap biadab, tidak bermoral dan menghina masyarakat Islam. Lebih menyedihkan ia dilakonkan oleh dua individu yang dipercayai beragama Islam.
Semalam, negara dikejutkan dengan sebuah video viral berdurasi dua minit satu saat yang mempromosikan perjudian dalam talian.
Iklan tersebut yang pada mulanya menceritakan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri kemudiannya bertukar kepada promosi aktiviti perjudian bagi mendapatkan wang untuk menyambut perayaan dengan meriah.
Sehubungan itu, pihak polis embuka kertas siasatan berhubung video iklan tersebut.
Salah seorang pelakon utamanya, Saifullah Mohd Yunus mengaku silap kerana terbabit dalam iklan tersebut dan sedia bekerjasama dengan pihak polis untuk siasatan lanjut.
#Ramadan #Jenayah #Aidilfitri #Iklan Raya #Judi Dalam Talian
;