Laman Utama
“Biasa Bebas Berdialog Tapi Ni Ada Scene Luah Perasaan” - Ryan Bakery Kekok Berlakon Babak Cinta
Pempengaruh terkenal tanah air, Ryan Bakery akui sedikit kekok untuk melakonkan watak Jeff dalam telefilem bertajuk Challenge Accepted.
Menurut Ryan, cabaran yang dihadapi adalah kesukaran bermain dengan emosi dan juga lontaran dialog penuh perasaan kerana sebelum ini dia sudah terbiasa menjayakan komedi tanpa menggunakan dialog spesifik.
“Telefilem ini bukan sepenuhnya romantik, tetapi lebih kepada romantik komedi. Bagi saya, nak kata susah sangat tak, senang pun tak. Balance.
“Bolehlah dikatakan kekok sebab dalam skrip ada adegan meluah perasaaan. Ini kali pertama untuk saya.
“Rasa kekok masa nak deliver skrip sebab sebelum ini biasa buat cerita komedi dan bebas berdialog tapi untuk cerita ini lain sedikit.
“Antara cabaran lain adalah call time, disebabkan penggambaran bermula awal pagi, jadi saya perlu berada di sana mengikut masa yang ditetapkan.
“Selain itu penggambaran ini juga dijalankan pada bulan puasa. Kita mulakan sesi penggambaran dari pagi hingga ke petang, kemudian petang ke malam,” jelasnya.
Mengulas mengenai telefilem ini, Ryan berkata terdapat pengajaran yang boleh diambil untuk semua pembuat kandungan agar lebih berhati-hati dalam membuat konten.
“Penonton harus menonton kerana terdapat pengajaran buat content creator di luar sana supaya tidak membuat kandungan yang bukan-bukan.
“Sebab buruk padahnya kelak dan selain itu, teleraya ini juga mengajar kita erti berusaha serta tidak mudah mudah putus asa,” ujarnya.
Selain Ryan, telefilem Challenge Accepted ini juga dibintangi oleh Erysha Emyra dan Shasha Nadira
Challenge Accepted arahan Hadith Omar ini bakal ditayangkan di Astro Ria (saluran 104) pada 28 April, bermula jam 10 pagi.
Sinopsis:
Mengisahkan tentang Jeff iaitu seorang TikTokers terkenal dicabar peminat untuk mencari dan membuat wanita bernama Fatimah jatuh cinta kepadanya. Mampukah dia berbuat demikian?