Laman Utama
Big Stage 2022: Afieq Shazwan Ramal Top 3 - “Juara Perempuan…”
Big Stage 2022 bakal melabuhkan tirainya. Justeru, alumni Big Stage musim pertama, penyanyi Afieq Shazwan berkongsi sedikit tips dan nasihat kepada para peserta Big Stage 2022 yang bakal berentap merebut gelaran juara pada malam ini.
“Saya masuk Big Stage musim pertama dan ketika itu, semua BBNU dalam kalangan artis lokal sahaja. Namun, sejak musim kedua, penyertaan dibuka kepada artis luar negara pula.
“Bagi saya, masing-masing perlu bawa karakter sendiri, tak perlu tiru-meniru cara orang. Dan jujurnya, saya nampak perbezaan karakter dalam diri peserta tahun ini. Tambahan pula bakat mereka hebat-hebat,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Afieq turut berpesan, walau apa pun terjadi, menang atau kalah, para peserta Big Stage 2022 perlu teruskan usaha dan jangan sesekali berputus asa.
“Sebenarnya, jangan give up. Plan kita tak semestinya berjalan dengan lancar. Benda yang kita nak tak semestinya kita dapat dan benda yang kadang-kadang kita tak nampak dan tak nak kita akan dapat.
“Semua dah ada fan base. Keep on, sebab korang ada bakat. Bakat itu yang penting. Lain-lain kita boleh asah. Mungkin lepas Big Stage 2022 ni ada peserta nak kekalkan nama dalam industri dan mereka boleh mengacara atau berlakon,” katanya lagi.
Ditanya siapakah pilihan top 3 Afieq, jawabnya: “Juara perempuan, Aisha Retno, tempat kedua Daniel Chuer dan ketiga Elica Paujin,” katanya ringkas.
Untuk rekod, Afieq meraih tempat keempat pada Big Stage musim pertama.
Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad, penerbitan Big Stage 2022 turut disokong oleh CUCKOO dan OPPO selaku Penaja Utama. Portal Gempak dan aplikasi SYOK turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital. Manakala ERA pula hadir sebagai Radio Rasmi.
Juara Big Stage 2022 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM25 ribu beserta trofi. Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing- masing bakal membawa pulang RM15 ribu, RM10 ribu dan RM5 ribu beserta trofi.
Rangkaian program Big Stage 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan akan dipancarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) mulai 6 Februari serta turut boleh turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Seramai lima peserta berjaya mara ke peringkat akhir iaitu Aisha Retno, Yazmin Aziz, Daniel Chuer, Elica Paujin dan Tegar Septian.
Terdahulu, penyanyi Sarah Suhairi berjaya merangkul gelaran juara sewaktu penganjuran musim pertama (2018). Bintang Korea Selatan, Han Byul muncul sebagai juara musim kedua (2019). Manakala Azzam Sham pula diangkat sebagai juara musim ketiga (2020).