Laman Utama

Big Stage 2022: “Sebenarnya Lagu Mash-Up Kami Lain, Bukan Roman Picisan & Denting” - Danial Chuer

Izwan Isa
23/03/2022
13:50 MYT
Sponsor Banner
Big Stage 2022: “Sebenarnya Lagu Mash-Up Kami Lain, Bukan Roman Picisan & Denting” - Danial Chuer
Pada konsert ketujuh Big Stage 2022 Ahad lalu, ramai mata terpegun dengan persembahan battle antara Danial Chuer dan juga Aisha Retno.
Menerusi persembahan tersebut, dua bintang muda itu menyanyikan dua buah lagu mashed-up iaitu Roman Picisan yang dipopularkan oleh Dewa 19 dan juga Denting (Melly Goeslaw).
Sehinggakan, juri tetap, Ajai turut meletakkan persembahan tersebut sebagai antara persembahan yang terbaik pernah ditonton selain penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut mengagumi persembahan yang sama.
Namun, mungkin ada yang tidak tahu bahawa pada asalnya, bukan lagu Roman Picisan dan Denting yang menjadi pilihan pertama Danial dan Aisha untuk digabungkan.
“Sebenarnya, lagu tersebut bukanlah lagu kami. Pada asalnya, kami membawakan lagu Setengah Mati Merindu daripada Judika dan Hati Yang Kau Sakiti nyanyian Rossa. Selepas duduk berbincang, kami rasakan macam ada yang tak kena.
“Selepas berbincang semula dengan production kami cadang nak tukar lagu kepada lagu yang telah kami persembahkan pada hari Khamis. Very last minute. Selepas tukar, malam buat arrangement dan esoknya baru consult dengan pengarah muzik.
“Agak barai jugalah sebab kena stay back sampai malam, try and error. Tetapi alhamdulillah berhasil. Susunan muzik dan juga vokal turut disusun secara bersama. Kami tak nak nampakkan persembahan itu sebagai persembahan battle. Tetapi lebih kepada melengkapi antara satu dengan lain,” katanya.
Ditanya adakah persembahan mash-up itu bakal dirakam dan diluncurkan dalam versi studio, Danial menjawab: “Itu kita boleh usahakan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Danial juga memberitahu yang dia dan Aisha telah menghasilkan sebuah lagu duet yang ditulis dan dicipta secara bersama.
“Cuma kami masih belum pasti bila mahu melancarkan single berkenaan. Mungkin selepas kami lancarkan single solo masing-masing, baru kami akan fokus pada lagu duet itu,” tutup Danial.
Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad, penerbitan Big Stage 2022 turut disokong oleh CUCKOO dan OPPO selaku Penaja Utama. Portal Gempak dan aplikasi SYOK turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital. Manakala ERA pula hadir sebagai Radio Rasmi.
Juara Big Stage 2022 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM25 ribu beserta trofi. Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing- masing bakal membawa pulang RM15 ribu, RM10 ribu dan RM5 ribu beserta trofi.
Rangkaian program Big Stage 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan akan dipancarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) mulai 6 Februari serta turut boleh turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Seramai lima peserta berjaya mara ke peringkat akhir iaitu Aisha Retno, Yazmin Aziz, Danial Chuer, Elica Paujin dan Tegar Septian.
Terdahulu, penyanyi Sarah Suhairi berjaya merangkul gelaran juara sewaktu penganjuran musim pertama (2018). Bintang Korea Selatan, Han Byul muncul sebagai juara musim kedua (2019). Manakala Azzam Sham pula diangkat sebagai juara musim ketiga (2020).
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar