Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

#BIGSTAGE5: “Dia Tak Ada Luck & Kami Kena Adil” - Tak Guna Imuniti X Dengan Baik, Ajai Nampak Prestasi Naufal Tapi…

Mya Amri 22/05/2023 | 03:54 MYT

Juri tetap Big Stage 5, Ajai menjelaskan terdapat peningkatan prestasi Naufal dari segi persembahan namun masih tidak cukup memuaskan.

Menurut Ajai, disebabkan itu juga pihak juri perlu adil dalam memberi penilaian walaupun Naufal telah diselamatkan menerusi Imuniti X minggu lalu.

“Daripada 21 markah ke 40 lebih itu maksud saya ada peningkatan prestasi cuma dia tidak ada tuah dan kami pun tak boleh nak selamatkan dia, kami kena adil.

“Masa kami selamatkan Naufal tempoh hari, itu disebabkan nyanyiannya pada minggu pertama bersih apabila kena dengan konsep dia iaitu world music.

“Bila konsert kedua pula boleh dipertimbangkan, nyanyiannya boleh pergi walaupun lagu R&B, cuma dia tidak ada tuah.

“Macam yang saya cakap penyanyi ada dua karakter. Satu penyanyi yang menyanyi 50 peratus tetapi diberikan sokongan penuh oleh netizen dan juga peminat.

“Kedua ada penyanyi yang bagus menyanyi. 100 peratus nyanyiannya tetapi tidak ada sokongan. Kita tidak boleh salahkan netizen atau peminat kerana mereka ada hak untuk menyukai seseorang itu berdasarkan apa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ajai juga menegaskan juri menilai berdasarkan protokol persembahan dan nyanyian, bukan terletak pada populariti penyanyi.

“Saya juga sudah dapat agak dia akan terkeluar sebab kami lihat daripada peratusan pertama yang ditayangkan di skrin pada awal permulaan konsert itu.

“Yang mana kalau di bawah 5 peratus itu memang ‘selamat hari raya lah’, kita faham.

“Bagi juri kita menilai berdasarkan protokol persembahan, pemarkahan daripada nyanyian dan persembahan. Jadi kami tolak populariti.

“Macam saya dan Aina kalau menjuri, populariti jatuh nombor dua. Tak kirahlah sama ada 27 juta ke, 28 juta ke peminat kamu. Yang penting adalah nyanyian,” tegasnya.

BACA: #BIGSTAGE5: Naufal Azrin Tersingkir, Meer Nash Terselamat! Semak Markah Penuh Setiap Peserta

Terdahulu, Naufal menjadi bintang kedua tersingkir selepas Isaac Voo.

Naufal telah menyampaikan lagu Only yang dipopularkan oleh penyanyi Korea, Lee Hi.

Manakala bintang yang masih bersaing dalam Big Stage 5 adalah Firdaus Rahmat, Meer Nash, Aufahanie, Puteri Khareeza, Putera Muhammad, Nadeera Zaini, Dem Lepak Boyz (Duo) serta kumpulan M-pop perempuan, COEX yang terdiri daripada Mikaela Qistina, Amy Loh, Dalini, Eyqa Shahidan dan Elysha Khan.

Bintang luar negara pula ialah Farhan Shah (Singapura), HoonDoo (Korea) dan Waode (Indonesia).

Dihoskan oleh Elly Mazlein dan Rina Nose, Big Stage 5 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 10 minggu setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104).

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, Big Stage 5 juga boleh di strim di aplikasi Astro Go.

Big Stage 5 juga turut menampilkan Aina Abdul dan Ajai sebagai juri tetap dan minggu ini juri jemputannya pula adalah Ernie Zakri.

Pentas Big Stage 5 diserikan lagi dengan kemunculan pelakon, Mierul Aiman sebagai Presiden Netizen.

Sepanjang penganjuran, Big Stage telah menobatkan empat juara iaitu Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan, Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020) dan terbaharu, Elica Paujin (2022).

#Ajai #Tersingkir #Juri #Naufal #x #Imuniti #Azrin #Big Stage 5 #BIGSTAGE5
;