Hiburan
Bila Anak Menangis, Berat Hati Saya Nak Pergi Kerja - Yusry Abdul Halim
Pelakon dan komposer terkenal, Yusry Abdul Halim akui berat hati untuk keluar bekerja setiap kali mendengar tangisan anak sulungnya, Yahaira Leanne.
Yusry berkata, itu merupakan antara pengalaman yang dilalui olehnya selepas bergelar bapa.
“Bila ada anak secara automatik perasaan kita pun dah jadi lain, bayangkan jika ditempat kerja sekejap pun dah mula rindu.
“Antara ragam yang paling susah saya hadapi bila Yahaira menangis tidak bagi saya keluar bekerja. Dengar tangisan dia memang buat saya rasa berat hati sikitlah.
“Bila dah jadi begitu, saya kena keraskan hati dan pujuk dia dan kata saya keluar bekerja dan akan pulang sekejap lagi.
“Tapi bukan selalu Yahaira begitu, ada hari-harinya sahaja. Bila difikirkan kembali, itu baru Yahaira, nanti bila Yusof dah besar dan pandai meragam, alamatnya tak keluar rumahlah saya,” katanya bergurau.
Dalam pada itu ketika ditanya mengenai akaun Instagram, Yusry memberitahu belum ada perancangan membuka akaun tersebut untuk anak-anaknya.
“Buat masa ini kami belum ada perancangan untuk buka sebuah akaun Instagram untuk mereka, tapi untuk masa akan datang kita tidak tahu,” ujarnya.
Jangan lupa saksikan Lisa dan Yusry dalam program eBu Babypedia musim kedua yang akan disiarkan setiap Sabtu bermula 26 Julai ini, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).
Program ini juga boleh ditonton di platform Astro GO dan on demand.
Teks oleh: Mya Amri