Hiburan

Bila Badrul Bicara: Body Shaming - Antara 'Penjahat', 'Mangsa' Dan 'Hero'!

Badrul Hashim
23/08/2019
02:38 MYT
Sponsor Banner
Bila Badrul Bicara: Body Shaming - Antara 'Penjahat', 'Mangsa' Dan 'Hero'!
Kalau ikutkan, malas sebenarnya mahu komen lagi tentang hal body shaming ni. Tapi dah hampir seminggu, masih lagi berlarutan dan masih lagi orang memperkatakan.
Maaflah, tapi ini pandangan peribadi saya. Mark Adam sekadar menjadi mangsa keadaan. Malah, pada saya orang yang memperbesar-besarkan perkara ini sebenarnya lebih kepada mahu membunuh karakter (character assassination).
Pembunuhan karakter ini sejak dari dulu lagi digunakan oleh segelintir ahli politik, namun semakin menular di bidang seni ini. Senang cakap, fitnah zaman moden lah.
Kalau ikut cerita Hindustan, bagi segelintir orang Mark ni dah jadi penjahat, Sherry jadi mangsa dan juga heroin, dan Alif muncul sebagai hero. Itu saja perbandingan mudah yang saya boleh buat. Padahal, itu bukannya perkara yang sebenar berlaku.
Siapa yang kenal Mark Adam mesti tahu, dia bukan jenis yang masuk dalam kategori suka mempermainkan rupa dan bentuk badan seseorang. Biarpun ketika melawak dan sebagainya.
Tapi orang ambil dari konteks yang sangat simple. Daripada satu perkataan itu, dan klipnya diulang-ulang dan diulang-ulang dan diulang-ulang. Tapi mungkin segelintir sahaja yang memerhatikannya dengan betul. Lainnya hanya tertumpu pada satu perkataan yang keluar daripada mulutnya - 'big'. Okay! Kalau anda tengok klip pendek yang bertebaran itu, cuba anda dengar betul-betul. Mark mahu menyambung balik ayatnya dengan berkata, "No, no... I mean..." tetapi terus disampuk oleh Alif, "hey Mark, you're right. She has big talent, bro", dan disambung balik oleh Mark, "Ya, that's what I mean."
Ini adalah Big Stage, ruangan rancangan realiti yang cukup besar dengan memberikan peluang yang besar kepada mereka yang berbakat besar dan ini semua memerlukan pengacara yang besar untuk menyampaikan tugas yang besar!
Faham? Atau saya juga menulis atas dasar body shaming?
Nanti ada pula yang salah anggap saya menyokong Mark dan menyalahkan Sherry serta Alif. Itu bukan point nya di sini. Sherry dan Alif berada pada liga mereka yang tersendiri. Mereka bukan budak-budak baru nak up! Mereka juga bukan pengacara yang baru nak meniti populariti. Mereka adalah 'it'!
Saya cuma mahu jelaskan agar segelintir mereka yang suka sangat membuat cerita ini supaya sedar bahawa perkara yang berlaku bukanlah berkaitan dengan body shaming. Cukuplah nak gunakan alasan tersebut.
Dan kalau pun Sherry atau Alif atau Mark yang membaca tulisan ini, mereka pun juga akan tahu apa yang saya maksudkan. Mentaliti dan budaya membunuh karakter ini perlu dibuang jauh-jauh. Pengacau-pengacau industri bersorak gembira kerana mereka tak perlu buat apa-apa pun, orang dalam sendiri yang buat kecoh.
Bertimbun lagi artis dan selebriti di luar sana yang bercakap atau menulis di sosial media dalam bentuk body shaming. Buat Instagram review dengan ayat-ayat tak masuk akal tentang bentuk badan, warna kulit dan bermacam-macam lagi. Kenapa diam saja?
Nak jadi champion untuk menghalang body shaming? Jadilah champion untuk semua. Jangan main pilih-pilih sahaja. Oh, sebab dia kawan aku, aku kena stand up for this! Oh, dia bukan kawan aku, lantak pi lah! Ya, mentaliti kita!
Dan sekarang bila Mark Adam diserang dalam pelbagai bentuk hinaan, mana anda? Oh lupa, dia tak termasuk dalam senarai kawan anda.
Salam Jumaat dan jumpa lagi!
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: Instagram / Twitter
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar