Laman Utama

“Bila Libatkan Orang Lain, Saya Rasa Tak Sepatutnya Selfish” - Beto Elak Kerja Dengan Yang Tak Vaksin

Mya Amri
22/09/2021
09:20 MYT
Sponsor Banner
“Bila Libatkan Orang Lain, Saya Rasa Tak Sepatutnya Selfish” - Beto Elak Kerja Dengan Yang Tak Vaksin
Pelakon, Beto Kusyairy akui tidak dapat mengelakkan daripada berasa bimbang untuk kembali bekerja.
Disebabkan itu juga Beto mengambil inisiatif untuk tidak terbabit dengan mana-mana produksi, kru mahupun pelakon yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19.
"Saya faham, perkara ini adalah pendirian dan pegangan masing-masing. Jika mereka tidak mahu mengambil vaksin, kita tidak boleh nak paksa.
“Tetapi apabila melibatkan kerja bersama-sama dengan orang lain, saya rasa tidak sepatutnya kita rasa selfish, maksudnya mementingkan diri sendiri.
“Disebabkan keadaan kehidupan yang menghimpit, kita terpaksa bekerja. Jadi, individu antivaksin harus sedar, mereka bekerja dalam kelompok yang ramai dan melibatkan orang lain.
“Kalau kita tidak percaya dengan sesuatu, jangan sampai menyusahkan orang lain. Sebagai contoh bila kita jadi pembawa kita akan melibatkan orang lain.
"Individu yang sudah lengkap divaksin tetap boleh berjangkit dan apabila pulang ke rumah, ia berjangkit pula pada keluarga. Puncanya pada seorang yang mementingkan diri.
“Jadi bagi saya perkara ini tidak adil. Perkara ini juga bukan melibatkan individu itu seorang sebaliknya orang disekeliling. Untuk saya secara peribadi, saya tidak akan terlibat dengan poduksi, kru-kru atau pelakon-pelakon yang tidak mahu mengambil vaksin,” jelasnya.
Bagaimanapun kata Beto, dia bukanlah menempelak golongan yang tidak mahu mengambil vaksin sebaliknya apabila ia melibatkan kerja, soal kesihatan dan keselamatan menjadi keutamaannya.
“Terus-terang cakap memang ada kerisauan, nak tak nak kita kena berdepan dengan situasi sekarang , virus ni tak akan pergi ke mana-mana.
“Nak tak nak ini adalah kerjaya kami. Saya sendiri tak boleh buat benda lain, tak reti dan ini sahaja benda yang saya rasa saya tahu.
“Nak tak nak kita kena hidup dalam virus ini tetapi kita harus persiapkan diri kita. Kena jaga diri, ambil inisiatif, disiplin maksudnya dari sudut SOP.
“Saya fikirkan keselamatan keluarga saya… Saya ada orang tua dan juga anak-anak kecil di rumah jadi rasanya mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.
“Itulah yang saya cuba lakukan, selagi mampu dan boleh buat. Tetapi kalau dah terdesak sangat, itu lain pula ceritanya. Kita pun nak kena ada letak nasi atas meja, kena fikir keluarga,” katanya ketika ditemu bual.
Dalam perkembangan lain, Beto kini muncul dalam drama berjudul Penghulu Interim bersama Nadiya Nisaa.
Saksikan Penghulu Interim disiarakan setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam di Awesome TV (Astro saluran 123) dan MyTV (saluran 112)
Penonton juga boleh mengulang tonton melalui laman sesawang rasmi Awesome TV pada bila-bila masa.
Kredit foto: Instagram Beto Kusyairy
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar