Gaya Hidup
#BilaBadrulBicara: Antara Wabak Politik, Rakyatlah Jadi Mangsa! Ya, Memang Aku Maksudkan Wabak Politik!
Sejak daripada pilihan raya di negeri Sabah lagi aku sudah mahu bersuara, mahu luahkan dan mahu tegaskan bahawa sebagai seorang rakyat, isu wabak Covid-19 ini lagi penting dan mengatasi siapa yang memerintah negeri mahupun negara.
Ketika itu pun Sabah sudah masuk zon yang agak kritikal, tapi masih lagi nak buat juga. Pada mereka, yang positif adalah PATI; yang masuk melalui lorong-lorong tikus, yang ditangkap dan di situlah berlakunya wabak tersebut. See, tak ada masalah - under control.
Kemudian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dah umumkan supaya sesiapa yang balik daripada Sabah ke Semenanjung perlu dikuarantin.
Dipendekkan cerita aku malas nak mention, kita semua tahu apa yang terjadi akhirnya. Sampai muncul gelaran Kluster Menteri, tapi untuk aku, peribadi aku namakan ia sebagai Wabak Menteri.
Setiap hari aku berdebar bila Dr Hisham umumkan kenaikan demi kenaikan jumlah mereka yang positif Covid-19. Setiap kali dia sebut "yang baru pulang daripada Sabah" hati aku meraung! Kenapa tidak kuarantin!!! Kenapa ambil mudah!!! Kenapa ada pengecualian!!!
Perlu diingat ya, mereka yang pulang daripada Sabah ini bukannya PATI yang meloloskan diri di lorong-lorong tikus di Sabah itu. Mereka ini rakyat tempatan. Mereka ini orang yang pulang dari pilihan raya. Seriously, apa sebenarnya yang anda lakukan untuk rakyat Malaysia?
Sekarang, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan. Di Sabah bermula hari ini hingga 26 Oktober dan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula esok, 14 Oktober (12:01 pagi) sehingga 27 Oktober nanti.
Aku tak ada bantahan langsung terhadap PKPB demi kebaikan rakyat Malaysia, tapi sekali lagi aku pendekkan sahaja perkara ini, adalah yang di atas punya empati terhadap rakyat yang harus menanggung kembali fasa yang memeritkan ini. Mana rasa empati kamu?
Bayangkan tidak boleh rentas daerah. Ya, sektor perniagaan masih boleh beroperasi tapi bagaimana dengan mereka yang berniaga kecil-kecilan? Yang dapatkan bekalan dari daerah lain sekarang sudah tidak boleh berbuat demikian. Perlu surat dan sebagainya.
Di Selangor misalnya, terdapat sembilan daerah - iaitu Gombak, Hulu Langat, Hulu Selangor, Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling, Sabak Bernam dan Sepang. Bayangkan peniaga-peniaga kecil yang sering mendapatkan bekalan laut segar dari daerah Sepang. Haish peninglah!
Yang sudah merancang perkahwinan, kena batalkan semua. Yang sudah dapat offer berlakon, kena tangguhkan. Sekolah ditutup, cikgu-cikgu sekolah persendirian seperti tadika sudah tidak ada pendapatan. Kalau aku nak perincikan memang terlalu banyak.
Semuanya kerana apa? Kerana wabak politik! Dan hari ini ada ura-ura nak tukar kerajaan lagi? Allahu! satu persatulah. Tolong bantu putuskan rantaian Covid-19 yang dah jadi terlalu panjang ini. Jangan biarkan rakyat semakin tersiksa hanya kerana masing-masing ingin berkuasa.
Aku tak tahu macam mana lagi nak cakap. Apa yang aku boleh buat hanyalah berdoa, dan meminta kita semua sama-sama memohon kepada Yang Satu supaya kita mampu untuk memutuskan wabak bahaya ini dan pada masa yang sama dikurniakan rezeki dalam keadaan yang sangat genting ini.
Aku pernah lihat mereka makan nasi dengan air garam ketika PKP. Aku pernah tengok orang korek tong sampah, aku pernah nampak hidangan bubur kosong untuk jimatkan beras. Ya Allah, jauhkanlah kesukaran daripada mereka ini.
Anda yang telah kami pilih, carilah jalan untuk membantu dan bukannya menyusahkan. Jangan letakkan kepentingan peribadi lebih daripada kepentingan rakyat.
Kepada anda semua, kita boleh putuskan rantaian ini. Aku tahu ianya bukan mudah, tapi kita pernah melaluinya. Insya-Allah, kita kuatkan diri untuk melaluinya sekali lagi. Patuhi segala peraturan yang ditetapkan demi kebaikan kita. Jangan malu untuk meminta bantuan jika memerlukan. Kita kuat, kita boleh buat!
Jumpa lagi!
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: Vincent Tan
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.