Hiburan
#BilaBadrulBicara: "Salah Sehingga Terbukti Benar!" Itu Cara Segelintir Orang Kita. Aku Pun Pernah Laluinya!
Sejak wujudnya media sosial, ianya jadi tempat kita semua luahkan perasaan, berikan pendapat serta berbincang. Aku anggap ianya bagus kerana ada sesetengah daripada kita memang sukar nak meluahkan secara berdepan. Itu perkara biasa. Tapi ada satu yang sangat luar biasa pada aku yang aku anggap buruk perangai - suka jatuhkan hukuman!
Walaupun undang-undang agama kita dan undang-undang dunia menegaskan bahawa 'tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahan', tetapi segelintir wargamaya lebih gemar membolak balikkan semuanya. Pendekatan mereka - 'salah hinggalah dibuktikan tidak bersalah'.
Diminta memberikan keterangan bukanlah menjadi satu kesalahan. Tapi itulah yang terjadi kepada Shuib Sepahtu. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru panggil untuk bagi keterangan saja, tapi di media sosial segelintir netizen dah mula jatuhkan hukuman.
Sebagaimana yang aku lalui dengan Syafie Naswip tahun lalu. Itulah nasib yang diterimanya. Baru diambil keterangan, bertubi-tubi tuduhan dan hukuman yang dibuat ke atas dirinya.
Maaf Ayie, abang terpaksa ungkit sikit demi menjadi bukti dengan sikap segelintir netizen kita kerana perkara ni dah berlarutan begitu lama. Dan kebanyakan yang suka menulis yang bukan-bukan ini adalah orang Melayu kita. Orang yang dilahirkan secara automatik beragama Islam. itu yang aku tak faham!
Aku ingat selaku pihak yang menjaga branding Syafie, betapa sakitnya melalui perkara tersebut. Kalau aku sudah sakit, bagaimana pula dengan empunya diri? Bagaimana dengan ibu dan ayah, keluarga terdekat, sahabat handai yang dah dianggap macam keluarga? Allahuakbar! Hanya Dia sahaja Yang Maha Mengetahui.
Betapa marahnya aku ketika itu. Setiap kata-kata menghina, aku screen shot, aku cari sumber asalnya, screen shot lagi, dan aku mahu setiap seorang daripada mereka mengambil tanggungjawab dengan apa yang mereka tulis. Dengan tuduhan yang tidak masuk akal. Aku nak saman setiap seorang, aku nak pastikan mereka bayar kerana menjatuhkan maruah.
Semuanya aku kumpul, aku hantarkan kepada peguam dan juga kepada pihak berkuasa. Aku nak pastikan mereka yang membuat fitnah ini 'membayar balik' apa yang telah mereka lakukan.
Memang aku geram, marah dan sangat kecewa. Bagaimana seorang yang belum didapati bersalah (dan sememangnya tidak bersalahpun) boleh dituduh bukan-bukan oleh segelintir netizen yang pada aku tidak berperikemanusiaan.
Selepas pihak berkuasa mengeluarkan kenyataan selesai siasatan dan mendapati dia tidak bersalah, beratus-ratus orang menghantarkan mesej terus (Direct Message) ke Instagram Syafie memohon maaf atau tulisan mereka. Beratus-ratus ya, bukan berpuluh-puluh!
Aku tetap tak mahu lepaskan, tapi untuk seorang lelaki yang berbudi pekerti seperti Syafie Naswip, dia tidak mahu memanjangkan cerita.
"Abang, tahun 2020 nanti Ayie nak lupakan semua ini. Tak apa abang, Ayie nak maafkan semua mereka, walaupun hati Ayie sakit, Ayie reda dengan ketentuan Allah."
Okay! Dah habis tercerita pasal hal peribadi. Kembali kepada kepada soal Shuib dan Siti Sarah.
Aku kenal Siti Sarah dah lama sangat dah. Ketika mula-mula menyanyi dan masa tu aku jadi pengurus kepada Diddy Hirdy. Kita selalu jumpa di pentas-pentas nyanyian seluruh negara. Macam aku ceritakan sebelum ini. Perangainya tak pernah berubah. Seorang yang merendah diri, suka ketawa, periang, dan suka bergurau. Soal suara jangan cakaplah, termasuk dalam golongan suara-suara terbaik di Malaysia ni.
Shuib pula aku tak kenal sangat. Cuma yang aku dapat lihat sejak daripada dulu lagi, dia sangat komited dalam kerjanya. Nak buka perniagaan madu, sanggup dia buat publicity stunt bagi lebah hinggap di badannya. Untuk aku, itu satu komitmen. Pergi jauh di luar kotak untuk mempromosikan perniagaan madu lebahnya.
Hantar sana sini nak bagi orang cuba dan rasa. Betapa dia berusaha untuk buat yang terbaik. Siti Sarah pula? Dia sanggup jadi tulang belakang suaminya. Berhenti menyanyi dan tumpukan kepada keluarga dan anak-anak. Pengorbanan yang bukan semua penyanyi yang ketika itu sedang berada dipuncak sanggup lakukan.
Ya, segelintir netizen ni hanya nampak apa yang mereka nak tengok. Oh, pakai kereta besar riyak nak menunjuk kaya. Oh, rumah besar riyak nak menunjuk ada duit. Oh, pakai baju mahal riyak nak tunjuk orang berada.
Korang ingat untuk mereka sampai ke tahap apa yang mereka ada sekarang ini hanya kerana mereka mewarisi kekayaan ibu bapa mereka? Tidak sama sekali. Mereka bekerja keras dan setiap titik peluh mereka yang jatuh, korang tak pernah pandang.
Aku jadi sedih sebab bila Siti Sarah berkongsi hadith-hadith di Instagram sempena Maulidur Rasul, ada netizen komen "Sembang". Kau nak tulis seolah nak menghina Siti Sarah, tapi pada masa yang sama kau sebenarnya menghina hadith yang diriwayatkan oleh Rasulullah saw.
"Duit halal kah atau duit haram" tulis netizen yang menggunakan nama adibluesfanz. Aku pasti tak ada tanda soalan di situ biarpun nadanya berbunyi soalan.
Sebenarnya banyak lagi sebelum ini kata-kata kesat, penghinaan dan bermacam bentuk defamation lagi yang ditulis selepas berita Shuib diminta memberi keterangan kepada SPRM. Yang aku tak faham, kenapa sukar sangat untuk menerima maklumat yang disampaikan bahawa dia hanya memberi kenyataan kepada SPRM? Belum ada apa-apa sabit kesalahan, belum ada apa-apa kenyataan yang dikeluarkan oleh SPRM selepas mengambil keterangan daripada Shuib.
Kemudian timbul pula macam-macam fitnah lain. Sombonglah, bongkaklah, riyaklah. Eh, kalau kau jumpa orang untuk pertama kali, kemudian kau beri dia vibe yang negatif, kalau aku jadi mereka pun aku tak senyum. Mereka pun manusia biasa yang boleh rasa vibe yang tak menyeronokkan. Cuba tengok dari dalam diri sendiri dulu sebelum jatuhkan hukuman pada orang lain.
Aku tahu tulisan aku ni tak akan mengubah pendirian segelintir mereka yang sudah ada mindset suka menghukum. Tapi aku berharap aku dapat menyentuh hati mereka yang berada di atas pagar agar tidak cepat membuat tuduhan dan cemuhan pada mereka yang belum disabit kesalahan atau dijatuhkan apa-apa hukuman.
Aku berdoa semoga kebenaran untuk Shuib dan Siti Sarah akan muncul dan mereka berada dalam perlindungan Allah SWT sentiasa. Aku tahu betapa susahnya bermula daripada bawah dan orang hanya melihat apa yang kita ada sekarang. Segala penat lelah, usaha, tak tidur siang dan malam dan macam-macam lagi perkara langsung tidak dipandang.
Aku sentiasa doakan yang terbaik untuk korang, Insya-Allah. Semoga kalian berada di pihak yang benar, dan ini adalah dugaan Allah SWT untuk kalian lalui serta tempuhi dengan sentiasa mengingati Dia.
P/S: Abang nak claim suruh tukar sudu pada sudu hitam kat Bubble Bee tu ya! Hahaha!
Jumpa lagi dan salam Jumaat!
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: Instagram Shuib dan Sarah
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.