Gaya Hidup
#BilaBadrulBicara: "Tolonglah! Tukarkan Alat Pengambil Suhu Di Tempat Awam! Tolong... Please!"
Aku rasa ramai orang penat dibebel. Pakai penutup hidung dan mulut, jaga penjarakan fizikal, kerap basuh tangan, gunakan handsanizer, batuk dan bersin dengan cara yang betul dan lain-lain lagi.
Semua ini perlu! Kita perlu diingatkan setiap masa kerana sedikit alpa, wushhhh naik peningkat mereka yang positif Covid-19. Terlalu ramai yang anggap mudah walhal wabak ini boleh membawa maut dan masih tidak ada vaksin untuk merawatnya.
Kini aku lebih risau dengan penularan wabak ini di pusat-pusat membeli belah. Tempat yang menjadi kunjungan ramai. Paling menakutkan, mereka yang mudah terkena wabak ini seperti warga tua dan kanak-kanak juga ramai di pusat membeli belah.
Memang betul, ada yang positif tetapi tidak bergejala, tetapi semua orang sedia maklum bahawa demam merupakan satu gejala yang ketara. Sebab itulah di tempat-tempat awam seperti di pusat membeli belah setiap individu diambil suhu badan mereka.
Tetapi untuk apa? Apa fungsinya kalau alat yang digunakan untuk mengambil suhu itu sendiri tidak tepat?
Hari Jumaat aku demam. Sememangnya pagi itu aku ada appointment di hospital kerajaan untuk ambil darah. Jadi sambil ambil darah, aku juga dapatkan nasihat doktor tentang demam aku. Semua soalan ditanya doktor aku jawap sebaiknya. Demam aku 38.7 darjah celsius. Tidak terlalu tinggi kata doktor. Mereka tak melakukan sebarang saringan.
Hari Isnin aku masih demam. Aku ke klinik biasa yang aku pergi. Demam masih dalam lingkungan yang sama, cuma turun sedikit. 38.4 darjah celsius. Doktor bagi ubat dan suruh berehat, tapi kedegilan aku mengatasi segalanya.
Keluar daripada klinik, aku ke kedai serbaneka berdekatan. Guna MySejahtera dan kemudian ambil suhu. Percaya atau tidak, 36.1 darjah celsius! Aku patah balik ke klinik. Doktor guna tiga alat ambil suhu termasuk cara lama letak bawah lidah. 38.4 darjah celsius ketiga-tiga bacaannya.
Tidak puas hati dengan bacaan di kedai serbaneka tersebut, aku ambil keputusan untuk ke pusat perabot yang menggunakan alat mengambil suhu yang nampak sungguh canggih. Siap ada skrin yang memaparkan suhu badan.
Aku pakai mask dua lapis. Satu yang biasa berwana biru tu yang kita semua biasa pakai, dan di bahagian luar jenis kain yang berwarna hitam. Terkejut! Suhu badan aku yang diambil hanya 36.5 darjah celsius! Biar betul?
Balik daripada pusat perabot tersebut, aku mencari klinik di sekitar perjalanan balik. Aku beritahu aku demam. Sekali lagi suhu badan aku diambil. 38.5 darjah celsius!
Persoalan aku di sini, tidak pentingkah pengambilan suhu badan di tempat-tempat awam sehinggakan alat mengambil suhu yang digunakan sangat tidak tepat?
Mungkin ramai yang akan mengatakan kenapa aku tetap keluar sedangkan aku tahu aku mengalami demam. Aku buat kerana aku inginkan jawapan. Aku ingin tahu kenapa alat mengambil suhu tidak diambil berat.
Mungkin pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh membantu mereka untuk mendapatkan alat yang betul-betul tepat, dan mereka boleh membelinya daripada KKM. Ini cadangan sahaja. Tapi aku rasa ini adalah cara yang terbaik untuk kita mengatasi masalah ini. Ya, betul! Ada yang tak bergejala, tetapi kita boleh elakkan mereka yang mempunyai gejala.
Entahlah, berita-berita mengenai jangkitan wabak di pusat-pusat membeli belah menakutkan aku. Akupun bukannya muda lagi, dan aku masih ada ibu bapa yang sangat berusia. Bimbang adik beradik yang lebih muda bawa balik ke rumah. Bimbang anda, mereka dan semua yang lainnya bawa balik ke rumah masing-masing juga.
Sama-samalah kita jaga. Aku tahu kita penat dengar orang membebel benda yang sama, tapi ketahuilah itu sebenarnya untuk kebaikan kita bersama. Bacalah pengalaman orang-orang yang pernah kena virus Covid-19 dan survive. Jangan pernah fikir ianya tak akan terjadi pada kita.
Wassalam dan jumpa lagi!
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: Google
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.