Laman Utama
Bina Masjid & Perlu Lagi RM10 Juta, Ustaz Elyas Puji Sikap Penderma - "Tak Pernah Lokek, Ada Bagi Barang Kemas, Ada Bagi Duit"
Sejak pandemik COVID-19 melanda dua tahun lalu, pelbagai langkah diambil oleh kerajaan demi memastikan masjid dan surau tetap berfungsi dan orang ramai berpeluang mengimarahkannya.
Namun pada masa sama masalah awam berkaitan keselamatan dan nyawa seperti yang ditekankan dalam maqasid syariah sentiasa dipelihara. Semakin banyak rumah Allah, maka semakin luas ruang kita beribadat dengan selesa tak kira di mana jua berada.
Terbaru usaha pembinaan Masjid Baiturrahman Alam Sari, Kajang dengan kos pembinaan sebanyak RM25 juta sedang rancak dibangunkan dan dijangka siap pada tahun 2024.
Pendakwah terkenal yang dilantik sebagai duta masjid berkenaan, Ustaz Elyas Ismail memuji sikap pemurah penderma dan penginfaq.
"Yang menariknya dalam tempoh kita diuji dengan pandemik COVID-19, hingga ramai terkesan tapi Alhamdulillah penyumbang kepada pembangunan masjid ini tak pernah lokek dan tak pernah berhenti menyumbang.
"Ada sumbang wang ringgit, ada bagi barang kemas dan macam-macam lagi demi melihat pembangunan masjid ini siap," kata Ustaz Elyas.
Ustaz Elyas juga menyifatkan lokasi masjid itu sangat strategik.
"Selama ini, tak silap saya surau yang ada di kawasan itu tak banyak. Sangat terhad. Tentunya keberadaaan masjid yang dibina itu akan memberi keselesaan sekali gus menampung keperluan penduduk yang ada," kata Ustaz Elyas Ismail.
Pengerusi masjid berkenaan, Datuk Sayed Jaafar Sayed Ibrahim berkata pihaknya amat memanjat kesyukuran kerana kemurahan hati penginfaq dan penderma menjadi nadi kelangsungan usaha pembinaan masjid itu.
"Pihak kami sudah mendapat dana terkumpul hampir mencecah RM15 juta. Kita masih memerlukan dana dalam RM10 juta untuk melengkapkan proses pembinaan.
"Kita sentiasa mengemaskini jumlah kutipan dana di laman www.baiturrahman.my. Malah kalau ada yang bermurah hati mahu menderma atau menginfak boleh layari pautan sama.
"Jika dana atau peruntukan susah mencukupi, kita akan isytiharkan. Kita takkan terima dan ambil lebih daripada peruntukan kos diperlukan," kata Datuk Sayed Jaafar.
Tambah Datuk Sayed Jaafar lagi, masjid yang mendapat kelulusan pembinaan daripada Jabatan Agama Islam
Selangor pada 3 Januari 2020 ini dapat menampung sebanyak 4,000 jemaah dalam satu masa masa.
"Memandangkan penduduk Alam Sari sendiri dan kawasan sekitar boleh mencecah sebanyak 20,000 saat pembinaan siap sepenuhnya, jadi masjid ini diharap dapat dimanfaat dan diimarah dengan baik.
"Sesuai dengan rata-rata penduduk yang hampir 100 peratus beragama Islam, masjid ini akan menjadi tumpuan penduduk sekitar dan luar dalam melaksanakan pelbagai ibadah dan aktiviti bermanfaat.
"Masjid ini dibina di tapak seluas 3.51 ekar menggunakan khidmat pemaju I&P Sdn Bhd iaitu anak syarikat SP Setia Sdn Bhd bernaung di bawah Permodalan Nasional Berhad," kata Datuk Sayed Jaafar.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut melakukan lawatan kerja melihat perkembangan pembangunan masjid itu pada 26 Mac lalu.
Malah pada masa sama, berlangsung majlis ramah mesra dengan Jawatankuasa Pembangunan masjid itu.
"Masjid ini akan menjadi mercu tanda baru untuk kawasan itu. Pihak kerajaan negeri juga akan mencuba mencari lebihan dana diperlukan. Malah pada masa sama, pihak pengurusan masjid juga akan meneruskan kutipan yang dilakukan," kata Datuk Seri Amirudin Shari.
Manakala wakil pemaju, Timbalan Presiden, SP Setia Sdn Bhd, Datuk Zaini Yusuff turut memuji inisiatif jawatankuasa masjid itu yang sepakat.
"Insya-Allah kita merancang untuk turut serta beramal dalam perjalanan menyiapkan masjid ini dengan memperuntukkan sumbangan. Nilainya bergantung kepada kelulusan ahli lembaga pengarah pemaju," kata Datuk Zaini Yusuff.
Masjid ini akan menyediakan pelbagai kemudahan lengkap untuk jemaah dan masyarakat setempat seperti Dewan Pelbagai Guna, Kuarters Imam dan Bilal, Bilik Tetamu, Bilik Mesyuarat, Kios Perniagaan, Ruang Riadah seperti Gimnasium, Bilik-Bilik Kuliah, Ruang Kanak-Kanak dan pelbagai lagi.