Laman Utama
Bisnes Hampir Lingkup Ketika PKP, Chez Hamdan Dedah Ada Artis Yang Dah Pura-Pura Tak Kenal - "Kawan Susah Dicari"
Pernah membina empayar perniagaan menerusi perniagaan salun rambut, Chez Hair Studio di Setapak sejak lebih sedekad lalu, pemiliknya, Chez Hamdan, 36, akur 'jodohnya' tak panjang dengan cinta pertamanya itu.
Hinggakan Chez atau pemilik nama penuh Halimi Hamdan itu itu terpaksa membuat keputusan nekad menutup operasi salun terbabit ketika tahun pertama pandemik COVID-19 menyerang dunia.
Namun, mujur sebelum itu, Chez seperti dapat menghidu segala kemungkinan terjadi dengan berjinak jinak dalam dunia jualan produk rangkaian penjagaan rambut termasuk jenamanya sendiri, Chez Professional.
Adat ketika ditimpa kesusahan dan berdepan segala pancaroba kehidupan, hidupnya yang hampir jatuh tersungkur turut dipandang sinis. Malah lebih teruk dijauhi teman yang selama ini pernah erat di sisi.
Mujur bukan semua kawan atau insan rapat bertindak sedemikian dengan menjauhinya. Malah sejak berkecimpung di arena dandanan rambut ini, Chez turut membina pengaruh dan dikenali teman selebriti.
Antara artis yang masih menyokongnya biarpun diuji itu ini seperti Datuk Fizz Fairuz, Nad Zainal, Ira Mohd Amin, Riena Diana, Mona Allen, Datin Anne Ngasri, Hairul Azreen, Norman Hakim, Sharifah Sakinah, Sharifah Shahirah, Maria Tunku Sabri, Josiah Hogan, Izreen Azminda dan ramai lagi.
"Benar kejatuhan dan ujian ini akan buat kita kenal siapa kawan sebenar atau lawan. Yang hanya datang ketika kita mempunyai segala galanya dan pergi di saat kita diuji. Lumrah hidup. Kalau dikenangkan memang ia boleh buat saya bergenang air mata.
"Ini bukan drama atau dongengan. Tapi realiti yang benar benar terjadi. Bila senang, mungkin ramai mendekati kita. Tapi sebaliknya, akan ada yang pura-pura tak kenal atau terus menjauhkan diri.
"Saya bukan membodek, tapi nama artis yang terus setia menyokong itu bukti pengaruh yang mereka miliki bukan atas kapasiti kerja glamor atau tuntutan kerja semata mata. Ada di kalangan mereka berstatus popular dan ramai peminat, tapi masih tebal dengan jiwa kemanusiaan," katanya sambil menyifatkan artis disebut akrab seperti darah daging sendiri.
Kata bapa kepada dua cahaya mata itu, di kalangan artis yang disebut tak lokek menyokong.
"Ada yang tanpa disuruh mempromosikan produk rambut saya secara percuma. Malah ada yang menyokong dengan membelinya.
"Saya percaya kebaikan mereka itu bukan satu paparan drama yang dibuat buat. Tapi mereka ikhlas. Seperti mana saya ikhlas bekerja dan menata rambut mereka sebelum ini, Alhamdulillah semua itu buat ukhuwah kami kekal terjalin.
"Tak kurang juga yang sanggup memanggil saya datang ke rumah mereka untuk melakukan perkhidmatan memotong rambut anak, keluarga atau diri sendiri," katanya.
Kata Pengarah Urusan Chez Professional itu lagi, pada awal pandemik ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasa, dia pernah berfikir dapat menggunakan ruang duduk di rumah itu kononnya untuk berehat.
"Namun otak penat berfikir apa yang mahu dibuat demi survival. PKP berlanjutan. Saya sampai satu tahap tak boleh bernafas. Seperti dilanda serangan panik dan kebimbangan. Nak tidur pun fikir aliran duit keluar masuk.
"Mampukah duit simpanan bertahan dalam satu jangka waktu tertentu. Salun ditutup pun ada yang cakap saya jatuh bankrup. Sampai rumah penuh dengan kotak barangan penjagaan rambut," katanya.
Kata suami kepada Sharifah Haziah Akmar ini, keputusan menghentikan operasi salun di era pandemik juga menghamparkan hikmah tersendiri.
"Sedih pastinya bersarang ketika salun ditutup. Situasi ini bukan seperti hubungan dengan kekasih sampai jadi bolak balik nak menyelamatkannya. Saya tanya kawan termasuk di kalangan orang Cina, mereka cakap jika sudah terlalu lama berniaga, mungkin cari angin baru.
"Pandemik yang datang jadi klimaks untuk saya buat keputusan besar. Lepaskan sesuatu yang disayangi (salun) dan pertaruh diri ke bidang perniagaan barangan rambut yang belum pasti hujung pangkalnya.
"Tahun 2020 umpama satu turning point dalam hidup dan perniagaan. Mula tukar modul bisnes, gaya hidup, kerja dari rumah dengan membiasakan serba serbi aplikasi dalam talian," katanya.
Norma baharu jelas sekali mengubah sikap dan cerminan diri Chez yang pemalu kepada berani mengambil risiko dan cabaran.
"Bayangkan dulu ibarat hanya kepakaran dari tangan saja yang berjalan membentuk dan menggayakan rambut diingini. Tapi apabila kena jual produk sendiri, saya kena buat lintas langsung dengan cakap tergagap gagap.
"Saya cabar dan lawan segala kelemahan diri yang tebal dengan sikap malu dan berat mulut. Tak ada ilmu... tak ada apa apa, saya cuba ke depan. Saya redah... belasah. Tapi perlahan demi perlahan, saya mula terbiasa. Sambutan produk dijual cukup membanggakan dan luar biasa.
"Ketika itu, saya ambil tempahan hinggalah ke proses akhir penghantaran. Hujung bulan pertama pandemik, jualan produk dicapai membuat saya menarik nafas lega. Kalau lagi fokus, mungkin lagi besar impaknya," katanya.
Tahun lalu menjadi kemuncak untuk memastikan produk jenama Chez Professional terus mencipta fenomena.
"Setiap hayunan langkah saya, doa dan restu ibu bapa yang tiada hijabnya sentiasa mengiringi perjalanan ini. Mujur saya tak ada banyak sangat komitmen. Duit kereta pun sudah habis bayar. Bayaran rumah pun masih terkawal dan boleh dibayar.
"Isteri yang bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif juga memainkan peranan penting kerana campur tangannya menggunakan ilmu dan pengetahuan hal pengurusan amat berbaloi. Dulu duit berniaga dan gaji sendiri macam tak ada beza. Sekarang ia lebih sistematik," katanya.
Rangkaian produknya dengan tagline 'Your Home Your Saloon' terdiri daripada tujuh produk yang merangkumi syampu, krim masker dan item penggayaan rambut dengan kualiti seperti di salun, bebas silikon, diperakui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan harga berpatutan.
Malah kini produknya ditambah baik menerusi perancangan Chez Upgraded 22.
"Sekarang kami nak terus ajak lagi ramai orang yang bergelut dan terkesan waktu pandemik untuk menjadi agen memulakan perniagaan bagi menjana pendapatan. Kami sasar mahu lebih 1,000 agen pada tahun ini," katanya.
Serentak dengan itu, kempen #duitdijari turut dilancarkan iaitu berniaga tanpa modal, tanpa bebanan dan tanpa risiko untuk 'dropship'. Malah usaha merekrut ahli agen elite juga berterusan. Boleh tekan pautan https://linktr.ee/chezprofessionalhq untuk penyertaan dan pertanyaan.
Produk dipasarkan di bawah syarikat Chez Professional Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 21 November 2020 berpengkalan di Taman Melawati dengan sembilan pekerja.
Chez ketika ditemui pada majlis Chez Upgraded 22 turut memaklumkan akan kembali membuka salun rambut di lokasi baru di Shah Alam.
Sebelum ini, dua salunnya di Bandar Sri Permasuri ditutup terlebih dahulu dan disusuli di Setapak pada April 2020.