Laman Utama
Blue, Konsert 60 Minit Yang Tak Puas!
Untuk kumpulan yang sudah 20 tahun usianya dalam industri, konsert selama satu jam barangkali tidak cukup memuaskan.
Tak sempat panas punggung, konsert Blue 20th Anniversary Heart & Soul Tour yang dimulakan sekitar jam 8.45 malam di Plenary Hall, KLCC pada Jumaat lalu berakhir tepat 9.45 malam.
Namun, tak dapat disangkalkan, sepanjang tempoh 60 minit penuh bermakna itu, Blue yang dianggotai oleh Duncan James, Lee Ryan, Simon Webbe dan Antony Costa memberikan persembahan bertenaga dan energetik!
Seawal pentas dibuka, Blue mengunci 2,900 peminat setianya dengan lagu hit yang pernah dirakamkan bersama legenda Elton John, Sorry Seems To Be The Hardest Word sebelum disusuli lagu-lagu hit lain.
Malah, kumpulan kuartet itu juga sempat mendendangkan beberapa buah lagu terbaharu yang dirakamkan untuk album mereka Hear & Soul seperti Dance With Me, Ultraviolet dan Paradise.
"Peminat di Malaysia merupakan salah satu penonton yang tergempak yang pernah kami saksikan.
"Semangat yang ditunjukkan serta nyanyian bersama tanpa henti sangat menakjubkan!" laung kumpulan itu berselang-seli antara nyanyian.
Diam tak diam sebenarnya dalam tempoh sejam itu, Blue sempat melantunkan 17 buah untaian lagu termasuk beberapa hit fenomena mereka antaranya All Rise, sebelum ditutup pentasnya dengan lagu One Love.
Kata Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal, sambutan luar biasa diraih untuk penganjuran konsert Blue tahun ini.
"Seperti yang kami (Hitman Solutions & Happymoon) jangkakan jualan tiket laris dalam masa yang singkat dengan rata-rata umur pembeli dalam lingkungan lewat 20-an dan pertengahan 40-an.
"Kami sangat terharu dengan respon yang amat memberangsangkan oleh peminat kerana percaturan membawa boy band dari UK iaitu Blue ternyata membuahkan hasil," ujarnya.
Pengarah Urusan Happymoon, Kesavan Purusotman turut kongsi rasa gembiranya dengan maklum balas yang diterima.
"Kami amat berterima kasih kepada Blue kerana sudi menerima pelawaan mengadakan konsert di Malaysia, walaupun mereka pernah beberapa kali datang ke sini, kebanyakan peminat masih teruja untuk melihat mereka beraksi terutamanya apabila mengetahui ada album baharu yang telah dilancarkan.
"Happymoon dan Hitman Solutions sedang merancang festival muzik kolaborasi pertama kami yang bakal kami umumkan tidak lama lagi. Oleh itu, nantikan pengumuman kami yang seterusnya," tambahnya.