Laman Utama

"BN Tak Sokong PH, PN, Kekal Jadi Pembangkang" - Ismail Sabri

Gempak
22/11/2022
07:25 MYT
Sponsor Banner
"BN Tak Sokong PH, PN, Kekal Jadi Pembangkang" - Ismail Sabri
Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.
Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, BN tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).
"Seperti yang saya janjikan semalam bahawa saya tidak akan bersama dengan PH walau apa yang jadi sekalipun.
"Alhamdulillah, Dewan Tertinggi BN sudah membuat keputusan bahawa kita tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.
"BN tidak menyokong PH atau PN. Setakat ini BN bersetuju kekal sebagai pembangkang," katanya dalam Twitter hari ini. Terdahulu, pemimpin dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mengadakan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Ibu Pejabat Umno di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Antara pemimpin yang dilihat hadir adalah Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan.
Turut kelihatan Pengerusi BN dan Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon dan Pengerusi BN Melaka dan tiga Ahli Majlis Tertinggi Umno iaitu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Mesyuarat tamat kira-kira jam 1 tengah hari itu bertujuan memutuskan sama ada gabungan itu, yang memperoleh 30 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), akan menyokong PH atau PN bagi membentuk kerajaan.
Semalam, Ahli Parlimen dan pimpinan tertinggi PH hadir ke Hotel Seri Pacific di sebelah Ibu Pejabat Umno untuk berunding dengan pimpinan Umno dan BN mengenai kerjasama kedua-dua gabungan yang diketahui umum bermusuh itu bagi membentuk kerajaan perpaduan.
Ia susulan Yang di-Pertuan Agong menitahkan parti dan gabungan politik yang berjaya membentuk kerjasama bagi memperoleh sekurang-kurangnya majoriti mudah 112, untuk menamakan calon Perdana Menteri Ke-10 sebelum jam 2 petang ini.
Pada PRU-15, tiada mana-mana pihak berjaya memperoleh 112 kerusi Parlimen, menyebabkan tiada pihak dapat membentuk kerajaan sehingga hari ini.
Tiga blok utama, iaitu PH menang jumlah kerusi tertinggi 82, diikuti PN dengan 73 dan BN mendapat 30 kerusi.
Sumber: Harian Metro, Twitter
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar