Laman Utama
BoBoiBoy Raih 3.5 Juta Tontonan Dalam 24 Jam!
Animasi superhero terkenal Malaysia, BoBoiBoy kembali beraksi dalam siri terbaharunya ‘BoBoiBoy Galaxy SORI’ selepas lima tahun tanpa episod baharu.
Episod pertama yang ditayangkan pada Ahad lalu menerusi saluran Youtube MONSTA berjaya memecahkan rekod tontonan siri animasi itu sendiri, di mana ia berjaya meraih 3.5 juta penonton dalam tempoh 24 jam.
BERITA TRENDING: Mechamato Mendunia! Setelah ke Korea Selatan, Jepun, New Zealand dan Lain-Lain, Kini Siri Mechamato Tiba Di...
Menurut Pengarah Pemasaran dan Jualan MONSTA, Faiz Zainal Aabidin berkongsi, tayangan premier episod pertama ‘BoBoiBoy Galaxy SORI’ telah mengumpul sebanyak 100,000 orang penonton secara ‘LIVE’ di Youtube.
“Kalau nak dibandingkan, jumlah ini adalah lebih besar dari kapasiti Stadium Nasional Bukit Jalil yang hanya boleh memuatkan seramai 85,000 penonton pada satu masa,” katanya.
Dalam pada itu, siri animasi itu juga berjaya mendapat tempat dalam carta ‘Trending’ di Platform X pada hari pertama dan kedua selepas episod pertama ditayangkan.
Tayangan ‘BoBoiBoy Galaxy’ dibahagikan kepada empat siri pendek iaitu ‘BoBoiBoy Galaxy SORI,’ ‘BoBoiBoy Galaxy Windara,’ ‘BoBoiBoy Galaxy GenBara’ dan ‘BoBoiBoy Galaxy Gur’latan.’
Setiap siri akan mengandungi enam episod baharu dengan tema yang berbeza, berlatarbelakangkan penceritaan dan pengembaraan yang diolah semula dari siri komik ‘BoBoiBoy Galaxy’ Musim Ke-2 keluaran MONSTA.
Sekadar info, ‘BoBoiBoy Galaxy SORI’ kini disiarkan di Youtube MONSTA dan NETFLIX setiap hari Ahad jam 7.30 malam, dan di saluran televisyen tempatan TV9 bermula 13 Disember ini pada pukul 6.30 petang.