Berita
"Boleh Je Duduk Goyang Kaki, Tapi..." - Shima Anuar Tetap Nak Cari Duit Sendiri Biarpun Suami Mampu Sediakan Semuanya!
Pelakon Shima Anuar mengakui dia lebih selesa untuk terus mencari sumber pendapatan sendiri, tanpa perlu bergantung kepada suaminya semata-mata.
Menurut Shima, 29, hakikat sebenar, dia tidak perlu pun bekerja memandangkan segala kelengkapan dan keperluan mampu disediakan suaminya, Mohd. Solih Toha.
"Walaupun boleh je duduk goyang kaki, kilatkan kuku 24 jam kerana suami saya menyediakan segala-galanya buat saya.
"Tapi, saya rasa buat kerja lagi cool daripada goyang kaki tunggu duit jatuh dari langit," katanya.
Menurut Shima lagi, dia mahu mengikut jejak langkah arwah ibunya yang sentiasa bersifat berdikari dalam mencari sumber pendapatan sampingan.
"Arwah mak dulu macam-macam dia buat walaupun suami kerja, boleh bagi duit semua. Dia buat kuihlah, menjahitlah, macam-macam. Ada enam orang anak, tak ada pembantu rumah pun. Saya mahu jadi sepertinya," katanya.
Jelas Shima lagi, disebabkan itu jugalah, dia kini menjalankan perniagaan makanan yang dimasak sendiri di rumah.
"Sebab itulah saya buat @laksambys dan jual sikit-sikit macam ni," jelasnya.
Sebelum ini, sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Shima memulakan perniagaan laksam dengan mengambil tempahan penghantaran ke rumah pelanggan.
Bagaimanapun, perniagaan itu kemudian dihentikan seketika kerana dikatakan mahu memberikan fokus kepada keluarga.
Namun, sejak seminggu lalu, Shima membuat pengumuman untuk meneruskan semula perniagaannya itu.
Shima mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan itu pada 8 April 2017.
Hasil perkongsian hidup pasangan tersebut dikurniakan sepasang cahaya mata, Marian Sophia, 2 dan Mikhael Imaan, yang berusia 10 bulan.
Saksikan drama lakonan Shima Anuar di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!