Viral
Buat Live, Muat Naik Video Cerai Di Laman Sosial Hanya Buka Aib Rumah Tangga
Gempak
13/08/2024
|
07:23 MYT
Melakukan siaran langsung atau berkongsi rakaman video perceraian di laman sosial dilihat sebagai membuka aib hal rumah tangga sesuatu pasangan.
Memetik Harian Metro, Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari, Pusat Kajian Syariah dan juga Timbalan Dekan Industri, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff memberitahu, rakaman atau bahan sedemikian sepatutnya diserahkan kepada mahkamah sebagai bahan supaya memastikan hak mereka iaitu isteri terbela.
Video cerai
"Saya bersetuju untuk golongan isteri mendapatkan hak mereka dengan merakam video ataupun suara, tetapi saya tidak bersetuju untuk dibuat secara langsung atau muat naik rakaman itu di media sosial.
"Perkara itu hanya akan membuka keaiban rumah tangga itu. Oleh kerana itu, saya nasihatkan orang awam terutama suami dan isteri, kalau terdapat apa saja bukti, ia bukan disiarkan dan dimuat naik di laman sosial. Tetapi digunakan bahan itu untuk diberi kepada peguam dan mahkamah bagi membela hak mereka.
"Perkara ini penting bagi memastikan mereka ini tidak dinafikan hak, tidak difitnah oleh suami atau bekas suami atau keluarga suami. Dalam erti kata lain, kena bijak dalam kita membuat apa-apa keputusan," katanya.
Tambah beliau, perceraian yang ditayangkan di platform media sosial turut dilihat sebagai satu trend pada masa kini.
"Akhir-akhir ini memang betul saya melihat bahawa trend menceraikan isteri secara langsung atau rakaman semakin meluas dalam kalangan masyarakat.
"Kita faham bahawa perempuan ataupun isteri ingin merakam bertujuan untuk menjadikan ia bukti bahawa mereka sudah diceraikan.
"Ini kerana, ada dalam kalangan masyarakat kita, khususnya orang lelaki, yang mereka ini lafaz cerai kemudian mereka nafikan. Bagi mereka tidak ada saksi, tidak ada orang yang tengok kecuali isteri," katanya.
"Jadi, mereka beranggapan bahawa hanya seorang isteri yang mendengar mereka boleh menafikan. Malah boleh mengatakan bahawa mereka tidak menceraikan isteri serta pelbagai alasan lain.
"Disebabkan itu, ramai orang perempuan hari ini hendak menjaga dan mendapatkan hak mereka dengan merakam video, suara dan seumpamanya untuk membuktikan di mahkamah bahawa mereka diceraikan oleh si suami," katanya.
Untuk rekod, seorang peniaga TikTok diceraikan oleh suami dengan talak satu ketika sedang bersiaran langsung.
Sementara itu, pada semalam, penyanyi, Datuk Nora Ariffin memuat naik video di Instagram yang memaparkan suaminya iaitu Dr Rushdi Ramli, melafazkan cerai talak satu terhadap dirinya.
Sumber foto:
Simple Learn