Laman Utama
Buka Klinik, Radin Terkenang Arwah Ibu - “Memori Teman Mak Pergi Dapatkan Rawatan..”
Penyampai radio Era Radin meluahkan mendapat inspirasi untuk membuka sebuah klinik daripada memori membawa arwah ibu ke pusat perubatan tersebut bagi mendapatkan rawatan.
Memilih lokasi di Bukit Raja, Klang, Radin atau nama sebenarnya Radin Amir Affendy Ahmad Aruani, 31, memaklumkan dialah yang kerap menghantar arwah ibunya yang menderita penyakit kegagalan paru-paru.
“Saya nampak klinik ni ada dia punya keperluan dan permintaan. Arwah mak saya dulu mengalami kegagalan paru-paru selama beberapa tahun, sayalah yang selalu teman dia pergi klinik, hospital.
“Bohonglah kalau memori tu tak ingat. Itu antara perkara yang memberikan saya semangat dan inspirasi membuka sebuah klinik untuk membantu orang lain jugak. Secara tak langsung, ia dapat mengubati rindu saya pada arwah ayah dan mak.
“Saya diberikan peluang dan ruang untuk berkolaborasi dengan Megaklinik Zahran dimana Zahran akan buka francais klinik di beberapa tempat untuk tahun ni. Jadi saya memilih Bukit Raja sebagai cawangan saya,” ujar Radin ketika dihubungi Gempak.
Tambah Radin lagi, dia yang sebelum ini memiliki sebuah bisnes perkhidmatan penghantaran mahu keluar daripada perniagaan tipikal seperti makanan dan pakaian.
“Kalau kata selebriti buka bisnes je, rata-ratanya macam kedai makan, bisnes baju, jadi saya nak alih benda tu, buat perniagaan yang bukan tipikal di mana yang pertama saya buat servis penghantaran J&T dan yang kedua klinik ni.
“Orang akan pertikaikan, saya takde apa-apa ilmu atau pengalaman dalam bidang perubatan. Saya akan lebih terbabit dalam bidang pemasaran, pentadbiran manakala Dr Saiful akan bertanggungjawab menjaga bahagian perubatan.
“So far tempat dah ada dan ia sedang dalam proses ubah suai. Kemudian beberapa aset klinik dan mesin perubatan akan dibawa masuk.
“Zahran adalah sebuah klinik general biasa tapi klinik kami akan menawarkan beberapa elemen tambahan seperti beroperasi 24 jam, ada x-ray, bilik rawatan dan kita boleh rawat beberapa penyakit seperti demam denggi,” jelasnya lagi.