Hiburan
Buka Puasa Di Rumah Bekas Suami, Fasha Sandha Bersyukur Hubungan Masih Harmoni
Pelakon cantik Fasha Sandha masih mengekalkan hubungan baik dengan ibu mentua, Puan Seri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah meskipun telah bercerai dengan bapa kepada dua anaknya, Datuk Jejai.
Jelas Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 40, sudah menjadi rutin di bulan Ramadan, dia dan seorang lagi bekas isteri Jejai iaitu aktres Nora Danish berbuka puasa di kediaman mentua mereka.
Bersyukur
Fasha juga berkongsi bahawa dirinya bersyukur hubungannya dengan keluarga bekas suami kekal harmoni walaupun tidak lagi bersama.
“Tadi saya berbuka puasa di rumah keluarga bekas suami. Walau macam mana pun Puan Seri dan Datuk Seri masih mentua saya dan hubungan ini tidak akan putus sampai bila-bila.
“Beruntungnya saya kerana mentua sangat menyangi anak-anak saya. Nora Danish pun ada sama tadi.
“Kami satu keluarga besar. Saya anggap kehidupan ini terlalu berwarna apabila mereka menyambut saya sebagai keluarga,” katanya kepada Gempak selepas ditemui di majlis iftar bersama produksi dan pelakon filem Harimau Malaya.
Penerimaan suami
Mengulas lebih lanjut tentang penerimaan suaminya, Aidil Aziz berhubung perkara tersebut, Fasha memberitahu teman hidupnya itu sentiasa bersikap memahami tentang hubungan baiknya dengan keluarga mentua.
“Aidil okey sebab mereka selalu jemput dia sekali cuma kali ini Aidil perlu hadiri majlis lain, jadi dia perlu utamakan kerjanya dahulu.
“Namun, sebelum buat apa-apa keputusan saya minta izin dia dahulu dan kemudian ke majlis ini,” jawabnya.
Terdahulu, Fasha pernah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai dan dianugerahkan dua cahaya mata, Putra Rayfal, 9, dan Putri Raysha Jemaima, 8.
Pada Mac 2019, dia sah bergelar isteri Aidil dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Aisha Amaira.