Hiburan
Bukan Calang-Calang, Agnes Monica Diabadikan Sebagai Patung Lilin di Madame Tussauds
Penyanyi popular Indonesia yang mencipta nama di Amerika Syarikat (AS) Agnes Monica bakal diabadikan dalam bentuk patung lilin di Muzium Madame Tussauds, Singapura.
Agnes atau lebih dikenali sebagai Agnez Mo di AS berkongsi sebuah video mengumumkan berita baik itu di laman Instagram miliknya.
“Hi guys, saya ingin mengesahkan akan menyertai Muzium Madame Tussauds Singapura.
“Mereka akan membuat patung figura saya dan saya sangat gembira dengan berita ini,” jelasnya menerusi video tersebut.
Malah, Agnez turut berkongsi pasukan ukiran Madame Tussauds Singapura akan datang menemuinya untuk mengambil ukuran.
“Esok mereka akan terbang ke Los Angeles (LA) bagi berbincang tentang perincian serta mengambil ukuran.
Saya akan memaklumkan sebarang info terkini kepada anda,” tulisnya lagi.
Di ruangan komen, rata-rata wargamaya memberikan ucapan penghargaan dan tahniah kepada peyanyi yang popular dengan lagu Tak Ada Logika itu.
Selain Agnez, antara selebriti popular dunia yang turut mempunyai patung lilin mereka dipamerkan adalah Johnny Depp, Oprah Winfrey, Christiano Ronaldo, Beyonce, Barack Obama dan ramai lagi.
Terdahulu, penyanyi berusia 31 tahun itu berhijrah ke LA selepas menandatangi kontrak bersama label rakaman terkemuka AS sekitar tahun 2013.