Bukan Harta & Paras Rupa Menjadi Ukuran Kebahagiaan Ameera Khan - “Seandainya Saya Kaya, Mampu Beli Satu Lagi Bumi Sekali Pun…”
Diberikan kehidupan yang sempurna dari segi harta, paras rupa, dan keluarga yang sentiasa menyokong bukanlah satu tiket kebahagiaan buat pempengaruh Ameera Khan atau Little Miss Khan (LMK).
Menjawab salah satu pertanyaan netizen ketika membuat siaran langsung di Instagram, Ameera memberitahu dia lebih mengutamakan kesihatan dan fizikal selain keluarganya berbanding perkara tersebut.
“Ini perkara yang saya kurang bersetuju. Rupa dan duit tidak akan kekal selamanya dan ia juga tidak melambangkan erti bahagia buat saya. Buat orang lain pula mungkin berbeza.
“Apa yang penting bagi saya adalah kesihatan mental dan fizikal serta keluarga saya. Seandainya saya kaya dan mampu beli satu lagi bumi sekali pun, itu tak bermakna saya bahagia.
“Jadi, jika saya memutuskan untuk sembunyikan diri dan mengelak daripada berjumpa dengan orang ramai, ia adalah kerana sebab-sebab lain.
“Ia mungkin kerana netizen atau saya sendiri yang sudah terlalu lama meluangkan masa di media sosial. Saya berasa penat dan perlu reset semula,” katanya.
Tetap bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan, namun adik kepada selebriti terkenal Neelofa ini tidak menganggap perkara materialistik adalah simbolik kebahagiaan seseorang.
Bagaimanapun, Ameera memaklumkan dirinya tetap bersyukur dengan segala rezeki yang telah dikurniakan kepadanya selama ini.
“Saya bukan memilih untuk berehat kerana saya berasakan diri cantik atau berduit. Alhamdulillah dengan harta dan rupa paras yang saya miliki serta perkara-perkara yang telah saya jalani selama ini.
“Saya memang sangat bersyukur tetapi anda tidak boleh mengatakan yang saya punyai segalanya tetapi tetap melarikan diri. Pada saya, perkara materialistik tidak menggambarkan kebahagiaan,” kongsinya lagi.
Selepas enam bulan menyepi, akhirnya Ameera atau LMK membuat kemunculan semula di laman sosial sempena menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 22 di Dubai selain menunaikan umrah bersama ibunya, Datin Noor Kartini.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.